loading...

Orang Asli Lapor Polis Bantah Sekatan Laluan Pembalakan

GUA MUSANG – Sekumpulan 50 penduduk Orang Asli suku Temiar dari enam pos petempatan di sini, membuat laporan polis, membantah sekatan di laluan ke kawasan pembalakan di Pos Simpor.

Mereka dari Pos Brooke, Pos Tuel, Pos Tohoi, Pos Bihai, Pos Pasik dan Pos Kuala Wok mahu pihak berkuasa mengambil tindakan merobohkan sekatan terbabit yang dibina oleh segelintir penduduk dipercayai atas hasutan pihak tertentu yang datang dari luar Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Pos Tuel, Jamly Ahan, 51, yang mewakili kaumnya membuat laporan polis tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang serta menyifatkan tindakan mendirikan halangan tersebut memalukan kaumnya sendiri.

“Bukan dengan cara itu untuk menyelesaikan sesuatu masalah dihadapi sama ada kemusnahan hutan simpan kekal atau pencemaran sungai kesan aktiviti pembalakan kerana ia perlu dilihat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Segelintir penduduk masyarakat itu membina sekatan bagi menghalang laluan keluar lori mengangkut balak kononnya bagi menghalang aktiviti pembalakan yang didakwa memusnahkan hutan dan pencemaran sungai.

“Kita kecewa mereka datang dari luar menghasut beberapa penduduk Orang Asli memasang sekatan itu hingga menyusahkan semua pihak dan ada pula penduduk berkumpul di lokasi sekatan untuk memeriksa semua kenderaan yang melalui laluan berkenaan, sebenarnya mereka tidak berhak berbuat demikian,” kata Jamly.

Pengerusi JKKKOA Kuala Betis, Ibrahim Marijan, 61, pula berkata sekatan itu perlu dihentikan kerana aktiviti pembalakan bukan dilakukan secara haram sebaliknya diluluskan kerajaan negeri menerusi Jabatan Perhutanan Kelantan.

“Jika mjenjejaskan kawasan petempatan mereka sekalipun, datanglah berbincang dengan jabatan terbabit dan bukan mengambil tindakan di luar peraturan dan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung perkara itu dan siasatan akan dijalankan. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...