loading...

JBPM Terima Lebih Banyak Panggilan Menyelamat Berbanding Kebakaran

BANGI – Dua pertiga daripada panggilan kecemasan yang diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara kini adalah bagi kerja-kerja menyelamat berbanding memadamkan kebakaran, kata Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri W Ian Mohd Norbrahim.

Beliau berkata sebelum ini panggilan kecemasan yang diterima JBPM ialah 50 peratus untuk memadam kebakaran dan 50 peratus lagi untuk kerja-kerja menyelamat.

“Namun sejak tiga tahun kebelakangan ini, senario beralih kepada 65 peratus panggilan kecemasan yang diterima adalah untuk kerja menyelamat sementara 35 peratus lagi untuk memadam kebakaran.

Malah panggilan kebakaran yang diterima pada 2017 menurun 41 peratus berbanding tahun 2016. Ini merupakan penurunan besar,” katanya kepada media selepas menyampaikan pingat kebesaran dan anugerah perkhidmatan cemerlang JBPM Negeri Selangor di Institut Kemajuan Desa di sini hari ini.

Wan Mohd Nor berkata , panggilan kecemasan untuk menyelamat yang diterima JBPM melibatkan kemalangan jalan raya, kes lemas, tanah runtuh dan ancaman binatang buas.

“Trend masyarakat sekarang yang begitu gemar menjalankan aktiviti lasak dan rekreasi seperti mendaki gunung dan sebagainya yang berisiko menyebabkan mereka cedera, hilang atau sesat di hutan turut menyumbang kepada peningkatan panggilan untuk menyelamat yang diterima JBPM,” katanya.

Menurut Wan Mohd Nor, pada masa ini JBPM menerima 80,000 panggilan kecemasan setahun dengan panggilan paling tinggi diterima di Selangor iaitu 18,000 diikuti Johor 10,000.

“Panggilan kecemasan yang diterima di Selangor adalah dua kali ganda tinggi berbanding negeri lain. Kesemua 34 balai JBPM yang ada di Selangor menerima secara purata 500 hingga 600 panggilan kecemasan setahun. Terdapat balai JBPM di Selangor yang menerima sehingga 800 panggilan kecemasan setahun,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...