loading...

Bas Amfibia Dipandu Uji, Bukan Rosak – Ahmad Razif

KUALA TERENGGANU – “Bas amfibia atau amphicoach hanya menjalani latihan pandu uji enjin semalam, bukan rosak,” kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian ekoran tular video menerusi laman sosial mengenai bas dua alam berkenaan yang konon dikatakan sebagai rosak dan enjinnya tidak kuat untuk meredah air sungai ketika sesi pandu uji tersebut.

“Jangan tularkan mengenai perkara yang tidak benar tentang bas amfibia dengan menyatakan perkara yang negatif mengenai bas berkenaan. Saya ingin betulkan mengenai hal bas berkenaan yang kini tular di media sosial.

“Apa yang kita buat ini adalah untuk pelancongan dan mempromosikan negeri walaupun ia adalah pelaburan besar,” katanya pada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Ahmad Razif berkata bas bernilai RM3 juta yang bakal menjadi tarikan terbaharu di Terengganu bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada negeri tetapi juga kepada rakyat.

Bas berkenaan yang tiba di Malaysia pada Januari lepas akan dipamerkan pada Ekspo Terengganu 2018 di Stadium Tertutup Gong Badak di Kuala Nerus bermula 25 Februari hingga 3 Mac 2018.

“Pengunjung diharap akan ramai datang ke Terengganu kerana bas ini hanya ada di Terengganu dan ia juga pertama di rantau Asia Tenggara,” kata beliau.

Ahmad Razif juga berkata, bas tersebut bakal beroperasi dalam masa terdekat namun kini ia sedang diperhalusi oleh Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) dan Jabatan Laut kerana mempunyai dua fungsi.

“Kita juga akan memulakan operasi bas ini di sekitar Kuala Terengganu kerana kita sekarang akan memperkasakan pelancongan di sekitar daerah ini termasuk menggunakan bas ini untuk menyusuri Sungai Terengganu sebagai tarikan baharu,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...