SITIAWAN – Jabatan Pertanian Perak berhasrat menjadikan daerah Manjung sebagai lokasi pengeluaran kubis bulat dalam negara bagi menampung permintaan domestik serta mengurangkan kebergantungan dan kadar import sayuran itu dari negara luar.
Pengarah Pertanian Negeri Noorazmi Yahya berkata pemerhatian mendapati hasil kubis di daerah Manjung paling memberangsangkan dengan mencapai berat 1.8 kilogram (kg) sebiji berbanding di tempat lain yang beratnya bawah 1.5kg.
Katanya, setakat ini percubaan tanaman kubis di kawasan tanah rendah yang dijalankan berjaya sepenuhnya mencapai kriteria ditetapkan dan setara dengan tanaman di tanah tinggi.
”Pusingan pertama plot percubaan tanaman kubis yang dijalankan di Pusat Pertanian Lekir di sini, sudah mencapai 80 peratus mengeluarkan hasil berkualiti dengan menggunakan benih hibrid F1 311.
”Bagaimanapun, masih ada pusingan kedua dan ketiga pada Mac serta Julai ini sebelum mencapai keberhasilan sepenuhnya dan seterusnya menyasarkan tanaman ini kepada umum pada tahun depan,” katanya ketika ditemui pada Lawatan Hari Penuaian Kubis Tanah Rendah Pertama di Pusat Pertanian Lekir, Batu 8 Lekir di sini, hari ini.
Tanaman kubis seluas 0.10 hektar (0.25 ekar) dengan 2,700 biji itu diusahakan Cheah Song Hui, 32, dengan bimbingan jabatan itu dan bapanya, Cheah Lean Teik, 66, yang berpengalaman menanam sayuran itu di Cameron Highlands, Pahang sebelum ini.
Dalam pada itu, Noorazmi berkata kubis bulat mempunyai potensi tinggi kerana ia antara sayuran yang popular di Malaysia dan sentiasa mendapat permintaan pasaran.
Katanya, masih belum ada tanaman kubis secara komersial di tanah rendah melainkan di Cameron Highlands; Lojing, Kelantan dan Kundasang, Sabah.
”Pengeluaran kubis dalam negara boleh dianggap kurang dengan anggaran 60 peratus manakala 40 peratus lagi adalah yang diimport dari China dan Indonesia.
”Dengan usaha ini bukan sahaja dapat mengurangkan kadar import sayuran itu, malah dapat meningkatkan pendapatan komuniti petani,” katanya. – BERNAMA
Loading...