loading...

Norish Mula Berhijab Sebagai Hadiah Untuk Ayah

ANGGUN… Tampil dengan imej berhijab, pelakon, Norish Karman menganggap keputusannya itu sebagai hadiah kepada bapanya, Karman Sukarjo sempena ulang tahun kelahiran ke-75 ayahnya itu.

Norish menerusi laman sosial, Instagram memberitahu, imej tersebut bukan didorong oleh sebarang rancangan untuk menjual tudung atau melakukan promosi sebaliknya dia telah menemui kekuatan untuk tampil berhijab.

“Doakan saya supaya terus istiqamah. Saya tidak memakai tudung kerana bermimpikan tentang kematian atau ingin menjual tudung mahupun untuk promosi. Ini adalah demi Allah dan ayah sempena ulang tahun kelahirannya.

“Sudah lama ayah menyuruh kami adik-beradik memakai tudung tetapi saya belum bersedia dan degil. Kini dalam serba kekurangan, saya tak mampu beri apa-apa jadi inilah hadiah saya sebagai anak perempuan kepadanya.

“Pesan saya untuk diri sendiri dan semua, carilah diri sendiri dan kenali diri. Saya juga sedang memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Pedulikan apa orang nak kata,” kata Norish, 44, yang juga penyampai berita stesen Bernama.

Dia yang pernah mencipta nama menerusi rantaian drama televisyen popular Anakku Sazali dan Spa Q, merupakan anak kedua dalam tiga beradik perempuan serta turut mempunyai ibu bernama Sherifah Salmah Aljunied, 66.

Berita penghijrahan Norish yang diumumkan menerusi akaun Instagram miliknya itu semalam menerima reaksi baik daripada ramai netizen apabila mendapat lebih hampir 4,000 tanda suka selain lebih 300 komen positif.

Aktres kelahiran di Singapura dan kini menetap di Mont Kiara dekat ibu negara, ketika ini tabah meneruskan hidup sebagai ibu tunggal setelah berpisah dengan suaminya, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir pada 2008 lepas.

Norish bagaimanapun ketika ini bahagia hidup bersama-sama empat anaknya iaitu Muhammad Haqiem Amany, Muhammad Hady Amieran, Nur Hanyz Amanda dan Haq Lutfie Alexander. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...