loading...

Tekun Lancar Buku ‘500 Usahawan Berjaya Tekun Nasional’

KUALA LUMPUR – Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) melancarkan buku ‘500 Usahawan Berjaya Tekun Nasional’ hari ini.

Buku 276 halaman itu dilancarkan oleh Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Nor Azita Abdul Rahman di Dewan Auditorium Tekun Nasional di sini. Ia memuatkan kisah kejayaan usahawan-usahawan dari seluruh negara dalam pelbagai sektor perniagaan.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional, Datuk Baharom Embi dan Ahli Lembaga Amanah Tekun Nasional.

Nor Azita berkata buku tersebut diharap dapat membuka minda masyarakat berkaitan keusahawanan dan menjadi pemangkin kepada usahawan lain untuk lebih berusaha dalam perniagaan yang diceburi.

Ia juga boleh menjadi antara sumber rujukan dan pemangkin semangat kepada usahawan-usahawan dengan Tekun Nssional.

“Buku yang dilancarkan ini merupakan edisi kedua selepas edisi pertama diterbitkan tahun lalu. Selain salah satu sumber rujukan, Tekun Nasional juga dalam usaha mengumpul lebih banyak maklumat usahawan berjaya dalam bentuk pangkalan data yang dipanggil TITAN. Pangkalan data itu juga akan dijadikan rujukan dan sumber maklumat usahawan berjaya,” katanya.

Sepanjang 20 tahun beroperasi, pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan oleh Tekun Nasional untuk membantu usahawan mikro.

Selain mempelbagaikan produk pembiayaannya, ia turut menganjurkan Seminar Asas Keusahawanan bagi memenuhi keperluan dan memberi pilihan kepada usahawan dalam bidang perniagaan.

Sehingga kini institusi itu telah menyalurkan RM5 bilion kepada 402, 842 usahawan melibatkan 527, 080 pinjaman.

Bagi 2018, Tekun Nasional menyasarkan pemberian pembiayaan berjumlah RM500 juta yang dijangka dapat memberi manfaat kepada 35,000 usahawan di seluruh negara. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...