loading...

‘Datuk’ Antara 4 Ditahan Kes Tuntutan Palsu RM26.3j

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ merupakan antara empat suspek yang ditahan kerana disyaki membuat tuntutan palsu perkhidmatan logistik dianggarkan bernilai RM26.3 juta.

Kesemua suspek, tiga lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan 39 hingga 46 tahun, ditahan di sekitar Shah Alam dan Klang semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata pihaknya menerima 11 laporan polis yang dibuat oleh syarikat Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn Bhd mengenai tuntutan palsu itu.

“ Sejumlah 11 kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mendedahkan kes itu bermula pada 2008 sehingga 2014, di mana suspek utama kes pada masa itu bekerja sebagai pengurus besar bahagian kawalan material dan logistik syarikat terbabit yang mengemukakan pelbagai tuntutan yang kononnya disediakan beberapa syarikat pengangkutan berbeza.

“Sebanyak 11 syarikat pengangkutan telah digunakan bagi membuat tuntutan berkenaan dan pihak syarikat hanya menyedari perkara itu pada awal tahun 2015 setelah melantik sebuah agensi juruaudit luaran ke atas semua invois yang dikemukakan suspek.

“Suspek utama kes ini akan dituduh dengan keseluruhan 93 pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” katanya.

Amar Singh berkata tiga suspek lain masing-masing akan dituduh dengan 19 pertuduhan, 18 pertuduhan dan 46 pertuduhan.

Beliau berkata kesemua pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Shah Alam esok.

“ Sehingga kini, lima kertas siasatan berjaya diselesaikan dan baki enam lagi kertas siasatan akan diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...