loading...

APMM Kelantan Tahan 11 Nelayan Vietnam

PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan seorang tekong dan 10 awak-awak nelayan Vietnam kerana menangkap ikan di perairan negara tanpa permit yang sah, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim DM10 Tok Bali, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata pihaknya turut menyita sebuah bot bersama kira-kira 200 kilogram ikan serta 300 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM300,000 dalam kejadian pukul 4.45 petang itu.

“Kesemua nelayan Vietnam yang berumur antara 28 dan 64 tahun itu ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat rawai di posisi 105 batu nautika dari Pantai Tok Bali di sini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat APMM Tok Bali di sini, hari ini.

Ismail berkata tangkapan itu dilakukan 20 anggota APMM diketuai Leftenan Komander Mohd Pazrul Niza Mohd Mustapa yang sedang melakukan rondaan di bawah Op Perkasa Timur dan Op Marikh.

“Kesemua nelayan berkenaan akan direman selama seminggu di bawah Akta Perikanan 1985 dan APMM akan terus melakukan rondaan walaupun kita menjangkakan kehadiran nelayan asing ini akan mulai berkurangan berikutan sambutan Tahun Baharu Cina pada minggu ini,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat jika berlaku sebarang pencerobohan dengan menghubungi terus Pusat Operasi Maritim Wilayah Timur di talian 09-5717345 atau melalui MERS 999 yang beroperasi 24 jam. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...