KUALA TERENGGANU – Kehidupan bagaikan tidak lengkap jika tidak menderma darah.
Ibrahim Abd Ghani, 56, yang mempunyai sikap sedemikian, telah mencipta rekod tersendiri apabila menderma darah sebanyak 108 kali dalam tempoh 32 tahun.
Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu berkata beliau mula menderma darah semasa masih lagi berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Dalam masa setahun kalau saya tak menderma darah seolah-olah rasa tidak lengkap dan saya akan pergi menderma jika dapat tahu ada program menderma darah dijalankan. Saya merasa sangat bangga kerana dapat menunaikan tanggungjawab serta membantu mereka yang memerlukan.
“Sehingga kini, saya telah memiliki lima buku derma darah. Ia bermula pada 1982 dan saya akan terus berbuat demikian selagi termampu,” katanya semasa ditemui media pada majlis ‘Derma Darah Demi Terengganu’ di sini hari ini.
Program berkenaan merupakan anjuran bersama Hotel Primula Beach, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) dan Mc Donald’s yang bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang.
Seorang lagi penderma darah Khairul Azlan Mohamad, 47, yang merupakan Anggota Jawatankuasa Kawat berkata beliau terpanggil untuk menderma darah kerana yakin darah jenis ‘O’ yang dimilikinya mampu membantu ramai orang.
“Kebetulan darah saya jenis O, yang mana darah jenis ini mempunyai kelebihan tersendiri dan sesuai untuk semua jenis darah, sebab itu saya tidak melepaskan peluang untuk turut menderma pada hari ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah APM Terengganu Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata program tersebut berjaya mengumpul lebih 100 penderma dan berharap ia dapat diadakan lagi pada masa akan datang. – BERNAMA
Loading...