loading...

Pembangkang Parti Bermusim Menjelang PRU Sahaja

PADANG BESAR – Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man menyifatkan pembangkang sebagai parti bermusim kerana hanya muncul menjelang pilihan raya umum (PRU) di samping tidak ikhlas memperjuangkan masalah rakyat.

Katanya pembangkang juga tidak mampu memenuhi janji PRU yang dibuat sebaliknya lebih gemar mencari isu sensasi bagi meraih simpati dan sokongan yang memecahbelahkan rakyat.

“Mereka (pembangkang) sebenarnya tiada agenda dan sebab itu berterusan meracuni pemikiran rakyat khususnya menjelang PRU yang semakin hampir.

Kita (kerajaan Barisan Nasional) tidak mengabaikan hak rakyat malah melaksanakan pelbagai program untuk faedah mereka sepanjang tahun, bukan bermusim,” kata Azlan semasa ditemui selepas menyampaikan hak milik tanah kepada 161 peneroka Felda Rimba Mas di sini, hari ini.

Setiap peneroka diberi enam hektar, menerima dua geran termasuk untuk tapak rumah rumah seluas suku ekar dan satu geran untuk ladang. Rancangan itu yang berkeluasan lebih 1,000 hektar dibuka pada 1982 dan dimajukan dengan tanaman getah.

Beliau menyifatkan kekerapan kemunculan pembangkang di kawasan Felda khususnya ibarat musim jujuh menjelang PRU ke-14 dan menghilang selepas PRU berakhir.

Mengenai tempoh agak lama untuk menyerahkan geran kepada peneroka, Menteri Besar itu berkata banyak proses perlu disiapkan oleh Felda sebelum kerajaan negeri dapat meluluskan pemberian hak milik.

“Yang penting hari ini kita tunaikan janji. Tahun lepas 243 peneroka Felda Mata Ayer memperoleh hak milik mereka manakala 447 peneroka Felda Chuping iaitu yang terakhir sedang diusahakan oleh Felda,” tambahnya.

Beliau bersyukur kerana para peneroka Felda di Perlis bersikap rasional dan dapat menilai pihak yang memberikan perkhidmatan terbaik selain memberi sokongan padu kepada kerajaan hari ini.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada peneroka Felda Rimba Mas kerana tegas menghalang pembangkang diketuai presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan mengadakan ceramah di rancangan itu baru-baru ini.

Ketua peneroka, Shahidan Mat, 65, pula melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan Perlis yang bersungguh-sungguh menunaikan tuntutan mereka sejak rancangan tersebut dibuka pada 1982.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKKK) Felda tersebut, Ariffin Abdul Hamid, 58, berkata tanaman semula getah rancangan tersebut kini berusia lima tahun dan dijangka dapat ditoreh setahun lagi.

“Sementara menunggu pokok baru dapat ditoreh, setiap peneroka diberi elaun sara hidup RM1,400 sebulan. Kami sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin dengan rakyat,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...