loading...

Mahkamah Minta Laporan Mental Tertuduh Kes Bunuh

BANTING – Mahkamah Majistret di sini, hari ini tidak membenarkan permohonan pihak pembelaan kes bunuh dan bakar empat sekeluarga di Tanjung Sepat pada Disember lepas supaya tertuduh dihantar mendapatkan pemantauan pakar psikiatri.

Majistret Mohd Isa Md Nor memutuskan perkara itu berikutan peguam Lim Chin Huat yang mewakili tertuduh, Kang Chang Heng, 38, tidak mengemukakan sebarang dokumen sokongan berkaitan masalah mental anak guamnya kepada mahkamah.

Peguam itu dalam permohonannya memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya perlu dihantar menjalani pemantauan pakar psikiatri di hospital kerana disyaki mengalami masalah mental seperti yang dimaklumkan oleh keluarganya.

Malah beliau berkata, tertuduh juga pernah cuba terjun dari tingkat empat rumah flat yang didiaminya.

“Kang dikatakan selalu rasa ada suara daripada badannya yang menyuruh dia melakukan sesuatu dan disebabkan itu, pihak pembelaan memohon mahkamah supaya membenarkan dia mendapat pemantauan psikiatri mengikut Seksyen 342 (3) Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Mohd Isa berkata mahkamah boleh mempertimbangkan permohonan tersebut sekiranya pihak pembelaan mengemukakan dokumen bagi menyokong kenyataan bahawa Kang pernah menerima rawatan mental sebelum ini.

“Dalam kes ini, saya lihat tertuduh sihat dan tak nampak pula dia berkelakuan pelik. Saya tak tolak sepenuhnya, cuma minta dimajukan sebarang dokumen untuk menyokong yang dia ada sejarah masalah psikologi,” katanya.

Mohd Isa meminta Lim mengemukakan sebarang dokumen berkaitan semasa sebutan semula kes pada 8 Mac depan.

Terdahulu, Kang, yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) pekak dan bisu, mengangguk faham selepas jurubahasa isyarat yang dilantik oleh mahkamah menterjemahkan empat pertuduhan bunuh dan satu pertuduhan mendatangkan kecederaan yang dihadapinya.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh didakwa membunuh Chia Tee Nang, 73, dan isterinya Lim Mai Shak, 68; serta dua cucu lelaki mereka iaitu Chia Yuan Bin, 3, dan Ryan Chia Zeng Xi, 9, di sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat di Kuala Langat pada kira-kira pukul 4 sehingga 5 pagi, 13 Dis lepas.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Kang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pekerja kilang perabot itu juga menghadapi pertuduhan mencederakan Andrew Chia Zeng Haol, 12, dengan menggunakan pisau di tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 324 kanun sama yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Basri. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...