KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan penerbitan negara mencapai 31,700 judul setahun menjelang 2020 berbanding 19,713 pada tahun lalu seiring jumlah penduduk Malaysia sekitar 31.7 juta sekarang.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sasaran itu adalah berdasarkan standard penerbitan negara maju yang disyorkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu iaitu satu judul bagi setiap 1,000 penduduk.
“Patik percaya sasaran yang disebut tadi dapat dicapai dengan adanya penggemblengan usaha serta sokongan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta serta pihak yang terlibat secara langsung dalam industri,” katanya.
Mohamed Nazri berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada majlis pelancaran buku ‘Istana Pahang: The Palace of Pahang’ terbitan Universiti Putra Malaysia (UPM Press) di Perpustakaan Negara Malaysia, di sini hari ini.
Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan melancarkan buku berkenaan yang ditulis oleh Orang Besar Istana Pahang Datuk Seri Halim Ibrahim dan pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan UPM Prof Madya Datuk Dr Norhasni Zainal Abidin.
Mohamed Nazri berkata amalan membaca dan kadar literasi menjadi faktor utama kemajuan industri buku dan penentu kejayaan Malaysia untuk mencapai sasaran sebagai Kota Buku Dunia pada 2020.
Beliau turut menzahirkan harapan untuk memperkukuh kerjasama dengan kerajaan Pahang khususnya dalam usaha meningkatkan aktiviti penyelidikan bermutu tinggi, sekali gus mempromosikan Pahang sebagai destinasi pelancongan ilmu tahun ini.
“Ini sejajar dengan visi kementerian untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan bertaraf dunia berteraskan seni, budaya dan warisan negara,” katanya. – BERNAMA
Loading...