KUALA LUMPUR – Rangkaian Sahabat Puteri BN AZALEA 2018 yang menghimpunkan wanita muda daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) dan ‘Friends of BN’, bertekad untuk berada di barisan hadapan dalam memastikan kemenangan berganda kepada BN.
Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ketua Puteri UMNO berkata dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), AZALEA tidak mahu ketinggalan menzahirkan sokongan kepada parti, seterusnya menterjemahkan kesepakatan melalui gerak kerja yang tersusun.
“Ramai bertanya, kenapa (dinamakan) AZALEA? Simboliknya AZALEA menggambarkan kedamaian dalam keanggunan. AZALEA merupakan bunga yang tumbuh bervariasi warna merah jambu dan ungu.
“Ia membawa erti kesepakatan, persahabatan “sisterhood” dan semangat kekeluargaan daripada Rangkaian Sahabat Puteri BN seluruh Malaysia. Simbolik inilah yang kita harapkan dalam menjadi lambang perpaduan dan kekuatan wanita muda yang menjadi sebahagian daripada tunjang BN,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran AZALEA 2018 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.
Mas Ermieyati berkata Puteri BN akan memastikan BN akan terus mendapat sokongan daripada generasi muda dalam PRU14 dan komited untuk melaksanakan amanah parti.
“Selepas ini , kita akan terus bergerak melalui siri perjumpaan Puteri BN ke akar umbi. Kita juga memperkemaskan dan melipatgandakan usaha mengesan pengundi muda, pengundi kali pertama melalui gerak kerja Jaringan Rakyat (JR) Plus.
“Pada masa yang sama, kita perkukuhkan jentera pilihan raya kita , teruskan sesi penerangan, latihan GOTV (Get out the Voters) serta pemantapan bersama-sama Sahabat Puteri BN,” katanya.
Pada sidang media, Mas Ermieyati berkata Puteri BN bukan hanya akan turun padang bagi membantu rakyat, tetapi akan turut menjadi ‘cyber troopers’ untuk memberi penerangan kepada golongan muda mengenai agenda kerajaan.
Ketika ditanya tindakan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilaporkan menghina graduan yang menjual nasi lemak dan menjadi pemandu Uber, Mas Ermieyati menyifatkan kenyataan itu sebagai kurang bijak.
“Memang salah dan silap besarlah dia (Tun M) berkata demikian. Sebab hari ini kita tengok ramai orang, termasuk akauntan pun buat pendapatan sampingan dengan membuat Uber.
“Tak salah pun mereka buat pendapatan sampingan. Hari ini rakyat Malaysia pun suka, mereka ada pilihan sama ada untuk memilih teksi atau uber. Apa salahnya ambil peluang untuk tambah pendapatan,” katanya. – BERNAMA
Loading...