Titik hitam dalam hidupnya bermula apabila Hiroshima dan tempat kelahirannya Nagasaki dibom oleh tentera udara Amerika. Masih terbayang di matanya bebola api gergasi telah meranapkan bangunan dan rumah di sekitarnya. Ribuan orang awam telah terkorban.
Bagi kanak-kanak seperti dia, terselamat dari malapetaka ini seperti terlepas dari mulut buaya, masuk ke mulut harimau. Penderitaan akibat radiasi, kehilangan tempat tinggal dan keluarga tersayang menjadikan hidupnya terkontang-kanting.
Walau apapun terjadi, dia masih ada tanggungjawab yang harus dilaksanakan. Dengan langkah longlai dia menuju ke satu destinasi. Di belakang terikat kemas adiknya yang baru berusia tidak lebih dari setahun.
Jalan berkaki ayam, dengan kudrat kanak-kanak ditambah berat adiknya yang terkulai di belakang bagaikan merentas onak dan duri. Namun sebagai seorang abang dikuatkan semangatnya.
Biar meniti ranjau sepanjang jalan, dia tidak kisah. Yang penting tanggungjawab ini harus dipikul dan dilaksanakannya. Ketika ini, siapa lagi yang diharapkan oleh adiknya selain dia.
Semasa dalam perjalanan, dia sampai di satu tempat. Kelihatan beberapa orang pekerja bertopeng putih sedang memunggah mayat. Satu demi satu mayat-mayat itu dimasukkan ke dalam sebuah lubang sedalam kira-kira 60cm lalu dibakar.
Dia datang mendekat dan berdiri di situ lebih kurang 5 hingga 10 minit. Di wajahnya terpancar harapan agar mereka datang membantunya.
Tidak lama selepas itu, salah seorang pekerja bertopeng putih datang mendekat. Pekerja itu berdiri di depan melihatnya kemudian merenung adiknya. Dia membuka ikatan pada badan kanak-kanak itu. Kemudian dengan lembut dan berhati-hati pekerja itu memegang lengan dan kaki adiknya lalu diangkat menuju ke tempat pembakaran.
Kanak-kanak itu sekadar melihat adiknya dibawa pergi dan dimasukkan ke dalam lubang pembakaran mayat.
Jelas terdengar olehnya bunyi gemertap jasad adiknya dimamah api yang sangat panas di dalam lubang itu. Dia mengetap bibirnya sehingga berdarah! Kesedihan yang ditanggung bukan kepalang. Akibat cita-cita melampau segelintir elit yang tinggal di istana, rakyat biasa seperti dia dan keluarganya menjadi korban perang.
Apabila api di dalam lubang semakin malap, dia pun beredar dari situ. Kini beban di belakangnya sudah tiada. Dan yang lebih penting dia sudah melaksanakan tanggungjawab terakhirnya sebagai abang. Walaupun sedih dia rasa lega kerana mayat adiknya sudah diuruskan.
Kisah ini telah diolah semula dari pengalaman Joseph Roger O’Donnell (Jurugambar Marine Amerika) yang menyaksikan peristiwa ini semasa melawat tempat pembakaran mayat di Nagasaki beberapa hari selepas bom atom digugurkan.
Comments
comments