loading...

4 Kontena Rokok Dengan Cukai RM30.8 Juta Dirampas

DENGKIL – Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas empat kontena rokok dengan cukai dianggar bernilai RM30.8 juta yang cuba diseludup masuk ke negara ini dalam satu operasi di Pelabuhan Klang, Khamis lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Datuk Zulkifli Yahya berkata siasatan awal terhadap kontena yang dirampas di Northport pada kira-kira 5 petang itu mendapati ia berasal dari Vietnam dan mempunyai alamat asal penghantar yang tidak wujud.

“Siasatan sedang dijalankan ke atas ejen perkapalan dan penghantaran,” katanya pada sidang media berhubung rampasan itu, di sini hari ini.

Beliau berkata mereka yang terlibat boleh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan tanpa permit import yang sah dan barang terbabit disita menurut Seksyen 26 Akta Zon Bebas 1990.

Zulkifli berkata kes tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 133(1)(b) Akta Kastam 1967 kerana membuat ikrar tidak benar.

“Ketika disemak manifes import, pihak ejen telah meletakkan ikrar yang tidak benar iaitu sebagai barangan seperti jubah, skaf, pakaian dalam wanita, kemeja T, beg dan tuala,” katanya yang turut menegaskan pihaknya akan sentiasa melakukan pemeriksaan ke atas kontena yang memasuki negara ini terutama yang berisiko tinggi. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...