loading...

Rap Aiman Tino Dikritik, Fara Hezel Beri Penjelasan

RASANYA nama Aiman Tino tidak perlu diperkenalkan lagi apabila cubaan pertama menerusi lagu Ku Rela Dibenci ‘meletup’ dalam kalangan netizen.

Baru-baru ini, Aiman telah muncul dengan single duet pertama bersama kakaknya, Fara Hezel menerusi lagu Terasa Cinta.

Dengar-dengarnya penyanyi 19 tahun ini menerima kritikan daipada netizen dan juga artis senior dari anggota kumpulan VE, Damian Mikhail.

Khabarnya, Damian menyatakan apa yang dilakukan Aiman itu merupakan satu pencemaran dan penghinaan bagi genre muzik hip-hop.

Namun, Aiman tidak kisah dengan kritikan itu sebaliknya menyatakan itu bukanlah cara yang sesuai untuk menegur pendatang baharu sepertinya.

“Saya pendatang baru, hanya mahu mencuba. Sepatutnya sebagai orang lama, Damian ada cara lebih baik untuk mengkritik.

“Kalau cara saya tidak sesuai, boleh sahaja hubungi pengurus atau saya sendiri.

“Saya tidaklah bodoh sangat tak pandai rap, asas itu memang ada. Saya juga pernah menjayakan persembahan underground menyanyikan lagu rap sebelum ini,” katanya dipetik Harian Metro.

Dalam pada itu, Damian menjelaskan status yang dimuat naik di Facebooknya pada Ahad lalu bukan ditujukan kepada penyanyi remaja berkenaan.

“Jangan salah faham, komen saya bukan kepada Aiman Tino saja tetapi secara umum,” jelasnya.

Sementara itu, Damian turut menasihati Aiman untuk bekerjasama dengan produser hip hop bagi menghasilkan karya hip hop yang berkualiti.

“Cuma nasihat saya kalau nak buat, biar betul-betul dan terbaik. Carilah produser hip hop berbakat untuk menghasilkan lagu bermutu.

“Mana tahu satu hari nanti kita dengar Aiman Tino bekerjasama dengan Joe Filzzow, Altimet atau Malique,” ujarnya.

Menurut Damian, penyanyi yang ingin merakamkan lagu hip hop seharusnya mengenali budaya hip hop yang sebenar sebagai menghormati budaya dan sejarah hip hop yang menarik.

Terbaru, Fara Hezel menerusi laman Instagramnya menyatakan lagu tersebut merupakan pembaharuan yang ingin ditonjolkan mereka berdua dan bukanlah sebagai menghina industri hip hop.

“Lagu Terasa Cinta yang ditulis sepenuhnya oleh ibu bapa kami bukanlah untuk menghina genre ini, malah kami cuba uuntk membuat kelainan untuk warna industri muzik sekarang,” tulisnya.

Jelas pemilik nama sebenar Nurfaraazira Yusri ini lagi, Aiman tidak pernah terlibat dalam konsert underground seperti yang dilaporkan, tetapi dia hanya menyertai konsert tersebut sebagai penonton.

Fara turut meminta penyanyi senior untuk menegur  secara baik dan sentiasa memberikan tunjuk ajar kepada pendatang baharu seperti mereka.

Lirik video lagu tersebut telah mendapat 1.3 juta tontonan sejak dimuat naik pada 3 November lalu. – MYNEWSHUB.CC/SA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...