Sumber foto: themalaysiantimes.com.my
Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Taiping hari ini atas tuduhan mendera bayi perempuannya berumur 6 bulan awal bulan ini.
Tertuduh, Mohamad Amirul Asnil Mat Pandir (21 tahun) mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan di depan Hakim Che Noralashiken Abd. Razak.
Menurut pertuduhan, tertuduh didakwa mendera anak keduanya, Nur Kayra sehingga cedera dengan mengalami pendarahan dalam otak di sebuah kediaman di Kampung Paya Baru, Kamunting pada jam 3 petang 2 Februari lepas.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya sabit kesalahan.
Safiyatun Ahmadun selaku Timbalan Pendakwa Raya mengendalikan pendakwaan manakala tiada peguam bela yang mewakili tertuduh.
Mahkamah memutuskan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 21 Mac ini.
Sumber berita: Utusan Online