Kredit foto: Mstar
“Lepas ini, tiada lagi panggilan Asmidar dan Ali,” kata aktres Fauziah Datuk Ahmad Daud atau lebih dikenali dengan nama Ogy Ahmad Daud.
Katanya, panggilan itu terus melekat sejak beliau dan Azmil Mustapha menjayakan filem fenomena, Ali Setan.
“Dia menggelarkan diri sebagai Ali, malah turut memanggil saya dengan Asmidar. Panggilan itu terus ‘lekat’ sampai hari ini,” katanya kepada portal Sinar Harian.
Semalam Azmil menghembuskan nafas terakhir di rumah keluarganya di Shah Alam, kira-kira jam 12.40 tengah hari.
Beliau meninggal dunia pada umur 64 tahun.
“Kali akhir saya dapat bercakap dengan dia adalah pada tahun ini. Ketika itu saya mengundang dia untuk datang ke program Huru Hara.
“Tapi, dia menolak kerana katanya ini bukan masa yang sesuai. Lagipun, dia kata dah lama tak tengok TV.
“Sebab itu, saya agak terkejut dengar berita pemergiannya. Badan saya pun menggigil,” katanya.
Dalam pada itu, Ogy bersyukur apabila mendapat tahu pemergian Azmil dipermudahkan.
“Alhamdulillah, dia mendapat keredaan ALLAH SWT malah dia pergi juga dengan mudah dan tenang,” katanya.
Bagi pelakon filem Langit Cinta ini, Azmil bukan sahaja sahabat dan rakan artis, malah seperti abang kandungnya sendiri.
“Dia menjaga saya seperti adik terutama ketika kami sama-sama menjalani penggambaran filem Ali Setan.
“Saya juga tak pernah dengar dia bercakap buruk pasal orang, semuanya baik-baik sahaja. Dia seorang yang sangat selesa untuk berkawan dan berbual,” katanya lagi.
Apatah lagi arwah merupakan antara penyokong kuat dalam setiap langkah hidup Ogy.
“Masa saya mula-mula berhijrah, dia orang pertama datang ketuk pintu rumah saya dan bagi sokongan.
“Masa saya pilih untuk kembali berlakon selepas berhijrah, dia juga sokong dan katakan itu adalah ketentuan ALLAH.
“Dia juga nasihatkan saya agar jangan melupakan-NYA dalam setiap apa yang lakukan,” katanya.
Sumber berita: Sinar Harian