Sumber foto: Kosmo Online
"Arwah pernah bertanya saya cara untuk menjadi atlet terbaik. Semangatnya dalam sukan akan sentiasa diingati."
Begitulah luahan bekas pelari pecut negara, Datuk Rabuan Pit, tentang cucu saudaranya, Nur Afini Roslan (14 tahun) yang meninggal dunia akibat terkena bilah pisau mesin pemotong rumput di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas, pagi semalam.
Rabuan memberitahu, soalan tersebut diajukan arwah semasa kali terakhir mereka berjumpa pada sambutan Aidilfitri, tahun lepas.
"Arwah panggil saya Pak Wan dan selalu bertanya macam mana nak berlari laju. Dia kata nak jadi seperti Pak Wan, termasuk bergelar anggota polis," ujarnya.
Beliau ditemui semasa mengunjungi majlis pengebumian arwah di Tanah Perkuburan Islam Kampung FELDA Kelamah malam semalam.
Dalam pada itu, bapa Nur Afini, Roslan Samat (55 tahun) memberitahu, beliau sekeluarga pasrah dengan insiden terbabit dan meletakkan tanggungjawab kepada pihak polis dan sekolah untuk menjalankan siasatan.
"Saya terima ketentuan Allah SWT dan berserah kepada takdir-Nya. Saya mengucapkan penghargaan terhadap semua pihak yang membantu sehingga jenazah dikebumikan," luahnya.
Roslan memberitahu, anaknya seorang yang aktif dalam sukan memanah sejak berumur 10 tahun.
Tambahnya, anak keempat daripada lima beradik itu juga pernah mewakili Pahang dalam sukan itu lalu berhijrah ke daerah berkenaan bulan lepas.
"Saya baru bercadang mendaftarkan arwah sebagai atlet memanah Negeri Sembilan dan tidak menyangka kejadian ini berlaku," luahnya.
Sumber berita: BH Online