loading...

Malaysia Gagal Ke Final, Tewas 1-3 Kepada China

ALOR SETAR – Skuad lelaki negara gagal ke final apabila tumpas 1-3 kepada China pada perlawanan separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2018 di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini, hari ini.

Walaupun tewas, skuad negara berjaya mencapai misi untuk mara ke pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, Thailand dari 20 hingga 27 Mei depan.

Pada aksi separuh akhir hari ini, pemain perseorangan Lee Zii Jia gagal meneruskan rentak kemenangan dalam empat perlawanan sebelum ini, sekali gus tidak dapat menyumbangkan mata buat pasukan negara.

Zii Jia yang diturunkan selaku perseorangan pertama berikutan Datuk Lee Chong Wei direhatkan, tunduk kepada pemain ranking ketujuh dunia Shi Yiqi 18-21, 9-21, dan mengakui sedikit keletihan antara punca beliau gagal mempamerkan prestasi memberangsangkan hari ini.

“Saya rasa penat sedikit sebab sudah beberapa hari bermain dalam perlawanan yang sengit. Jadi, saya rasa dari segi fizikal, kecergasan saya sudah menurun. Lagi pun, Shi Yuqi mula meningkatkan rentak permainan.

“Saya agak kecewa sebab tidak dapat sumbang mata pertama pada separuh akhir ini. Selepas ini, saya akan teruskan latihan dan buat persiapan yang baik untuk hadapi Piala Thomas,” katanya.

Malaysia mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Thomas 2018 secara merit selepas layak ke separuh akhir BATC 2018, yang menjadi medan kelayakan ke kejohanan dwi-tahunan itu.

Kejayaan pada BATC 2018 memperbaiki pencapaian edisi sulung dua tahun lepas di Hyderabad, India apabila skuad negara terkandas di suku akhir.

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan China, Xia Xuanze berkata skuadnya yang dibarisi pemain muda bernasib baik berjaya mara ke pentas akhir BATC.

“Sebenarnya kejohanan ini untuk memberi pendedahan kepada pemain muda. Mara ke final adalah bonus kepada pasukan kami. Nasib baik, Chong Wei tidak beraksi hari ini…jika dia beraksi mungkin sukar bagi kami untuk mendapatkan mata pertama,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...