KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan dakwaan anggotanya mengarahkan beberapa orang pemandu lori menanggalkan pakaian sehingga hanya berseluar dalam kerana tidak memenuhi suapan yang diminta.
JPJ dalam satu kenyataan berkata kejadian beberapa pemandu lori dalam keadaan separuh bogel bersama anggota JPJ yang tersebar di laman sosial itu sebenarnya berlaku pada sekitar bulan Mei 2015.
Menurut kenyataan itu, ianya melibatkan empat anggota Stesen Penguatkuasa Mentara, Gua Musang di Kelantan yang menjalankan rondaan penguatkuasaan di Jalan Aring ke Tasik Kenyir.
“Kira-kira 2.30 petang, anggota memeriksa tiga buah lori yang diletakkan di bahu jalan dan menghalang lalu lintas di mana pemandunya tiada dalam kenderaan itu.
Kemudian, pemandu lori yang sedang mandi-mandi di atas bukit berdekatan bergegas turun dengan hanya berseluar dalam,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, anggota JPJ telah mengarahkan pemandu lori itu mengambil pakaian namun mereka memberi alasan pakaian berada di atas bukit.
“Disebabkan merasa malu dan takut dilihat masyarakat yang lalu, mereka telah duduk di belakang kenderaan JPJ selain memohon maaf supaya tidak dikenakan tindakan.
Pasukan JPJ telah mengarahkan mereka mengalihkan kenderaan ke tempat lebih sesuai dan menasihati supaya tidak mengulangi perkara tersebut,” kata kenyataan itu.
JPJ menyeru masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang cerita atau berita tanpa mendapatkan kepastian daripada sumber yang sebenar.
“Salah seorang pemandu lori tersebut juga telah membuat laporan polis pada 9 Feb 2018 menafikan tohmahan dan dakwaan yang tidak berasas ini,” kata kenyataan itu.
Gambar beberapa individu yang berada di belakang kenderaan JPJ dengan memakai seluar dalam telah tular di laman sosial sejak beberapa hari lepas. – BERNAMA
Loading...