loading...

Kongsi Uber Dengan ‘Ex-Girlfriend’ Dan Kekasih Baru!

PERKHIDMATAN perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grab kini merupakan sesuatu yang popular bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia.

Aplikasi-aplikasi itu memudahkan orang ramai untuk bergerak ke mana sahaja hanya dengan menggunakan telefon pintar.

Uber juga kini menawarkan perkhidmatan dipanggil Uberpool yang mana pengguna boleh berkongsi kenderaan bersama penumpang lain yang tidak dikenali yang sedang menuju ke destinasi sama.

Perkongsian ini membolehkan caj yang murah dikenakan dan menjimatkan penumpang.

Dengan kaedah itu, satu perkara yang pasti ialah setiap kali menggunakan perkhidmatan berkenaan, penumpang tidak dapat menjangka siapa penumpang lain yang akan turut serta dalam perjalanan mereka.

Inilah yang berlaku kepada seorang lelaki dari Filipina baru-baru ini.

Dia mendapat kejutan besar ketika menggunakan perkhidmatan Uberpool apabila berkongsi perjalanan tersebut bersama satu pasangan kekasih …..di mana wanita tersebut adalah bekas teman wanitanya!

Dipetik daripada laman Facebook lelaki itu sendiri, Aj Magallon berkongsi pengalaman melucukan itu dengan disertakan satu swafoto bersama pasangan kekasih tersebut.

“Hai Uber PH, saya ditemukan dengan bekas kekasih saya dan teman lelaki barunya dalam Uberpool.

Mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan aplikasi ini. Valentine makin hampir. Sila baiki dengan segera,” tulis Aj.

Tambah melucukan, Aj turut meminta pertolongan rakan-rakan Facebooknya untuk memilh alasan terhadap aduan yang dilakukan kepada pihak Uber.

“Bantu saya rakan-rakan. Saya ingin membuat aduan di atas perjalanan ini. Adakah ini merupakan alasan yang tepat? Saya berharap akan diberikan pampasan,” tulisnya berseloroh besertakan gambar pilihan yang ada untuk membuat aduan kepada Uber.

Pada kejadian itu, Magallon yang sedang duduk di sebelah pemandu, terkejut apabila nama dan lokasi rumah teman wanitanya tertera di telefon pintar milik pemandu Uber tersebut.

“Pemandu itu mengambil saya dahulu dan ketika perjalanan saya diberitahu olehnya yang kami akan disertai orang lain dalam perjalanan tersebut.

“Jadi saya cuba lihat lokasi berkenaan dan ternampak nama dan lokasi bekas teman wanita saya itu,” katanya kepada ABS-CBN News.

Walaubagaimanapun jelas Magallon, dia tidak mempunyai masalah dengan bekas kekasihnya itu kerana mereka berpisah dengan cara baik.

Malah Magallon sendiri cuba menjadikan situasi tersebut tidak kekok dengan mengajak mereka untuk mengambil gambar bersama.

Magallon menjalinkan hubungan bersama bekas teman wanitanya itu selama dua tahun setengah sebelum mereka berdua membawa haluan masing-masing namun masih berkawan. –MYNEWSHUB.CC/EZ

*Video sekadar hiasan…

Loading...

Previous
Next Post »
loading...