loading...

Kedah Mampu Pertahan Piala Sumbangsih – Marcote

JOHOR BAHRU – Mempertahankan Piala Sumbangsih 2018 bukan misi mustahil bagi skuad Lang Merah yang mempunyai rekod cemerlang dalam saingan Liga Malaysia musim lepas.

Ketua jurulatihnya, Ramon Marcote berkata berdasarkan pencapaian pasukan berkenaan memenangi Piala Sumbangsih dan Piala FA musim 2017, beliau yakin anak buahnya mampu memberi tentangan sengit kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), malam esok.

Malah, katanya, beliau juga tidak terlalu risau akan kehebatan pasukan lawan sebaliknya mahu terus menumpukan terhadap usaha menajamkan aspek taktikal.

“Kita akan mengikuti falsafah kita. Jangan terlalu bimbangkan tentang JDT dan bagaimana mereka beraksi. Perkara paling penting, kita bermain seperti biasa.

“Jika kita mampu melakukannya, kita mampu memenangi perlawanan dan merangkul kejuaraan tersebut,” katanya pada sidang media menjelang perlawanan berkenaan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, di sini hari ini.

Sementara itu, kapten pasukan Kedah, Badrol Bakhtiar berkata beliau lebih selesa jika pasukannya dilihat sebagai ‘underdog’ (bukan pilihan) agar barisan pemain skuad Lang Merah tidak berasa tertekan.

“Bagi saya, tekanan dalam kalangan pemain Kedah tiada langsung sebab kami hadir ke sini sebagai pasukan ‘underdog’.

“Tetapi kami juga ada hasrat untuk membawa balik piala berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, pengendali JDT, Ulisses Morais berkata pasukannya sudah cukup bersedia memulakan kempen Liga Super musim ini dengan langkah kanan.

Beliau berkata meskipun pasukannya tumpas kepada Muangthong United FC dalam aksi pusingan kelayakan kedua Liga Juara-Juara Asia di Bangkok baru-baru ini, beliau percaya pemainnya tahu akan tanggungjawab masing-masing untuk memberi yang terbaik pada perlawanan esok.

“Kekalahan kepada Muangthong adalah kisah lalu. Kami mahu fokus untuk saingan Piala Sumbangsih,” katanya.

Pertemuan kedua-dua pasukan berkenaan dijadual berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, bermula 9 malam esok. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...