Kredit foto: News Straits Times & Instagram Altimet
Aktor Iqram Dinzly memohon maaf sekiranya ada pihak terkesan dengan 'insiden' dia menceroboh pentas Anugerah Juara Lagu ke 32 (AJL32) Ahad lalu.
Begitupun, Iqram berharap isu itu tidak digembar-gemburkan kerana bukannya berkali-kali dia melakukan percubaan naik pentas sewaktu Altimet membuat persembahan sebagaimana yang didakwa.
"Memang silap saya, saya minta maaf kepada Altimet, saya 'naik sheikh' melihat persembahan beliau.
"Saya pun tidak sesempurna mana, cuma mahu beri sokongan kepada beliau," katanya memetik laporan Mstar Online.
Iqram ditemui di kediamannya di Kota Damansara, pada Khamis.
Terdahulu, penyanyi Altimet menerusi laman Twitter meluahkan rasa berang selepas mendapat tahu Iqram cuba menceroboh persembahannya di AJL 32.
Pihak TV3 pula mendedahkan pelakon itu beberapa kali cuba naik ke pentas ketika persembahan Altimet, namun usahanya digagalkan oleh petugas acara.
Bagaimanapun, Iqram berjaya memijak pentas ketika Hael Husaini diumumkan juara pertandingan berkenaan.
Dalam pada itu, Iqram berkata, dia tidak terkesan dengan tweet Altimet yang hendak menyiku dan memberikan 'buku lima' (penumbuk) sekiranya dia benar-benar berada di pentas ketika itu.
Sebaliknya, Iqram mengambil kenyataan penyanyi rap itu sebagai teguran.
"Saya tak rasa apa-apa membaca tweet tersebut, saya anggap sebagai teguran.
"Insyaallah kita sama-sama belajar tentang adab dan adat," katanya.
Namun Iqram mengatakan dakwaan kononnya dia beberapa kali cuba naik pentas ketika persembahan Altimet itu adalah tidak benar sama sekali.
"Mana mungkin dihalang beberapa kali, selepas sekali dihalang saya terus ke belakang pentas untuk sesi temu ramah bersama Tonton.
"Tidak mungkin saya tipu, anda sendiri boleh melihat melalui skrin," tuturnya.
Dalam acara berkenaan, Altimet menjulang trofi Persembahan Terbaik sekaligus pulang dengan wang tunai RM12,000.
Hael pula bergelar juara menerusi lagu Jampi.
Sumber berita: Mstar