KOTA BHARU – Pelbagai dakwaan pembangkang terhadap pelaburan China di Malaysia yang dikatakan memberi kesan negatif terhadap negara hanya bertujuan mencetuskan kemarahan rakyat terhadap kerajaan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata walaupun pelaburan dari China sering dipandang negatif oleh pihak tertentu, pembangkang juga sedar bahawa pelaburan dari negara berkenaan amat penting terutama terhadap negeri-negeri yang ditadbir mereka.
“Kita tahu pemimpin seperti (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali (Menteri Besar Selangor) dan Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) melawat China untuk mempromosikan pelaburan di negara tersebut walaupun ia bertentangan dengan apa yang disuarakan pemimpin besar mereka.
“Ini jelas menunjukkan mereka tak konsisten dan ia (dakwaan negatif) sengaja dicetuskan semata-mata untuk membangkitkan kemarahan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi beberapa keluarga masyarakat Tionghoa yang menyambut Tahun Baharu Cina di sekitar Kota Bharu hari ini.
Semalam, Mohamed Azmin dilaporkan sebagai berkata pelaburan dari China di negara ini perlu dialu-alukan kerana ia memberi manfaat kepada negara, satu kenyataan yang dilihat bertentangan dengan pandangan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengkritik pelaburan langsung asing (FDI) dari negara itu.
Mustapa yang juga pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata kenyataan Mohamed Azmin itu jelas membuktikan kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) berada di landasan yang betul selama ini.
“Hakikatnya banyak lagi negara yang melabur di negara ini seperti Amerika Syarikat, Korea, Jepun dan Jerman. China merupakan sebahagian daripada pelabur yang datang melabur.
“Maka rakyat Malaysia perlu memilih kerajaan mana yang lebih konsisten menjalankan pelbagai dasar jangka pendek, sederhana dan panjang yang membawa faedah kepada mereka pada masa depan,” katanya. – BERNAMA
Loading...