Kalau rezeki itu bukan milik kita, walau sudah tergenggam erat, pasti akan terlepas dan hilang bersama angin. Inilah yang berlaku terhadap Jirawut Pongphan 42 tahun dari Thailand.
Pada November tahun lalu, dia membeli tujuh keping tiket loteri dengan nombor yang sama. Tanpa disangka tiketnya memenangi loteri bernilai 42 juta bhat (RM5.2 juta), yang cukup untuk mengubah statusnya dari seorang lelaki biasa kepada Orang Kaya Baru atau jutawan!
Bersyukur dengan durian runtuh yang bergolek di depan mata, dia pun menjemput sanak-saudara dan rakan taulan ke rumahnya untuk merayakan rezeki melimpah di tahun barunya.
Walau bagaimanapun, kegembiraan Jirawut tidak lama apabila pada keesokan hari, dia mendapati semua tiket loterinya telah hilang. Puas dia menyelongkar ke sana-sini tiketnya langsung tidak dijumpai!
Selepas kejadian itu, Jirawut diserang kemurungan. Akibatnya dia bersedih sepanjang hari. Malah dia juga tidak pergi bekerja.
Akhirnya Jirawut mengambil keputusan nekad – dia mencapat sepucuk pistol, menghalakannya ke kepala lalu menarik picunya!
Di samping jasadnya, polis menemui sekeping nota ditulis Jirawut sebelum dia menamatkan riwayatnya yang berbunyi, “Saya minta maaf, tolong jangan buli keluargaku. Saya telah memenangi loteri.”
Malang buat Jirawut, dia cuma dapat menikmati bau rezeki tanpa dapat memilikinya.