Menara Pisa yang terletak di Pisa, Itali merupakan antara bangunan bersejarah yang terkenal di seluruh dunia. Walaupun tiada sejarah yang menarik mengenainya tetapi ianya menjadi begitu popular kerana keunikan rekabentuk menaranya yang condong.
Menara Pisa adalah sebuah menara loceng yang mempunyai 7 buah loceng. Loceng-loceng ini akan berbunyi mengikut urutan tertentu yang menghasilkan bunyi menarik. Ianya mempunyai ketinggian 55 meter dan 284 buah anak tangga.Masalah kecondongan menara ini dikatakan berpunca daripada kecuaian jurutera dalam memastikan kestabilan struktur tanah bangunan ini dibina.
Di Malaysia, terdapat juga sebuah menara yang terkenal dengan kecondongannya di Teluk Intan. Oleh itu, menara ini telah digelar Menara Condong Teluk Intan.
Sejarah Pembinaan Menara Pisa
Menara Pisa mula dibina pada tahun 1173. Pembinaan 2 tingkat pertamanya tidak mempunyai sebarang masalah. Walau bagaimanapun, pada tahun 1185 para arkitek dan jurutera dapati menara tersebut kelihatan condong apabila pembinaan tingkat ketiga dan seterusnya dilakukan. Pada awalnya, mereka mengesyaki terdapat masalah pada struktur tanah dimana menara tersebut dibina.
Pembinaan menara ini kemudiannya terhenti satu abad lamanya akibat peperangan. Kerja pembinaan diteruskan semula pada tahun 1272 dimana 4 tingkat lagi dibina. Bagi menyelesaikan masalah kecondongan tersebut, 4 tingkat tambahan ini dibina dengan sudut berlawan daripada sudut kecondongan menara ini.
Malangnya, Menara Pisa berubah pula arah kecondongannya akibat pertambahan beberapa tingkat ini. Pada 1284, pembinaannya sekali lagi terhenti kerana Pisa telah ditawan oleh Genoa dalam sebuah lagi peperangan. Akhirnya pada 1370, menara Pisa berjaya disiapkan sepenuhnya dengan ketinggian 8 tingkat.
Punca Kecondongan Menara Pisa
Pada awalnya, beberapa pakar berbeza pendapat mengenai punca sebenar yang menyebabkan kecondongan Menara Pisa. Ada pihak yang berpendapat ianya berpunca daripada struktur tanah yang tidak kukuh sementara terdapat juga pendapat mengatakan ianya terjadi akibat kesilapan arkitek yang bertanggungjawab mereka bentuk bangunan tersebut.
Walau bagaimanapun, kajian yang dibuat pada abad ke 20 sependapat mengatakan kecondongan tersebut bermula setelah pembinaan bangunan tersebut dimulakan. Kajian pada struktur tanah mendapati bahawa satu bahagian tanah yang diperbuat daripada tanah liat telah semakin terhakis disebabkan oleh pergerakan air di bawah tanah.
Pembinaan struktur tapak Menara Pisa telah dibuat pada tahun 1173 dan struktur bangunan ini dibina daripada campuran batuan marmar dan kapur. Menara ini dibina dengan bentuk bulatan dengan tapaknya berada pada kedalaman 5 kaki. Menara ini dibina di atas tapak campuran tanah liat dan pasir halus.
Masalah kecondongan ini dikatakan akibat daripada tindakbalas komposisi tanah liat dan pasir ini. Komposisi tanah tapak menara ini didapati tidak sekata dan lebih padat pada bahagian selatan. Walau bagaimanapun, pertambahan ketinggian menara ini menyebabkan menara yang berbentuk bulat ini berputar dari kedudukan asalnya lalu menyebabkan bahagian utara utara bangunan ini terangkat, seterusnya menyebabkan bangunan Menara Pisa ini menjadi condong.
Usaha penyelesaian
Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh banyak pihak bagi mengelakkan menara ini terus condong, seterusnya meningkatkan risiko menara ini runtuh. Antara usaha yang pernah dilakukan adalah meletak bebanan seberat 660 pada di tapak menara ini pada bahagian utara untuk menghentikan menara ini daripada berputar. Usaha ini gagal.
Selain itu, terdapat beberapa cubaan lain untuk membetulkan kedudukan asal Menara Pisa namun gagal. John Burland, seorang profesor daripada Imperial College London adalah orang yang berjaya membaikpulih kedudukan Menara Pisa ini. Beliau telah mengetuai sekumpulan jurutera yang dianggotai oleh 13 orang.
Dalam usaha untuk mengembalikan menara ini ke kedudukan asalnya, bebanan berat telah diletakkan pada bahagian utara tapak menara ini untuk mengurangkan proses kecondongan ke arah selatan daripada berterusan. Kemudian, kabel besi telah dipasang sewaktu kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan untuk menghalang sebarang kemungkinan menara ini daripada runtuh dan menariknya kembali ke kedudukan asalnya.
Kemudian, beberapa saluran atau lubang telah ditebuk pada bahagian tapak menara ini sebelum tanah liat dan air yang terdapat pada struktur tapak menara ini disedut dan dikeluarkan. Struktur tapak kemudian diperkuatkan dengan memasukkan tiang-tiang konktrik ke dalam tanah bagi memastikannya benar-benar kukuh. Kabel besi yang diikat pada menara ini kemudian ditarik sedikit demi sedikit untuk menarik kembali menara yang condong ini ke kedudukan asalnya.
Kerja membaik pulih ini siap sepenuhnya pada 2001. Hasil usaha ini dikatakan dapat mengurangkan sedikit sudut kecondongannya dan mengelakkan menara ini daripada runtuh, seterusnya membolehkannya dibuka semula kepada orang awam.
Kes kecondongan menara ini sememangnya memberi pengajaran terutamanya kepada jurutera tentang kepentingan mempunyai struktur tapak pembinaan yang kukuh bagi memastikan bangunan yang dibina kekal kukuh. Di Malaysia, masalah struktur tanah yang kurang padat ini banyak dilaporkan dan telah menyebabkan banyak kes keretakan dinding rumah.
Kredit:
- Madrid Engineering
- The Independent
- The Telegraph