loading...

‘The Touch City’ Produk Pelancongan Melaka Berwajah Baharu

ALOR GAJAH – ‘The Touch City’ yang sebelum ini dikenali sebagai Bukit Auyin di Durian Tunggal di sini mampu menjadi tarikan pelancongan terbaharu di Melaka khususnya dalam kalangan pelancong Islam dari China.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-pulau Melaka Datuk Ghazale Muhamad menyarankan pusat tersebut mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pelancong China merupakan pelawat luar negara terbesar Melaka pada tahun lepas dan ini harus dimanfaatkan oleh pengusaha produk pelancongan di negeri ini termasuk The Touch City ini, katanya kepada pemberita selepas melawat pusat itu hari ini.

Beliau turut melontarkan cabaran agar pusat itu menarik 30,000 pelawat tahun ini.

Destinasi pelancongan itu yang menampilkan aspek kehidupan dan kebudayaan kaum Tionghua serta dibina berdasarkan feng syui kembali beroperasi pada September 2016 selepas ditutup lebih 10 tahun susulan masalah pengurusan.

Terletak di atas kawasan seluas 19.8 hektar, pusat kebudayaan itu diberi wajah baharu oleh Fonion Cultural Travel & Tours Sdn Bhd dengan kos RM20 juta.

Sementara itu, Pengarah Urusan Fonion Cultural Travel & Tours Marcus Chong berkata pusat tersebut dibuka setiap hari kecuali pada Selasa.

Pusat ini dibuka dari 9 pagi hingga 6 petang setiap Isnin hingga Khamis dan 9 pagi hingga 6 petang bagi Jumaat hingga Ahad dengan bayaran masuk RM36 untuk dewasa dan RM20 bagi warga emas dan kanak-kanak berusia enam tahun ke atas, sementara kanak-kanak enam tahun ke bawah percuma, katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...