loading...

Ruang Solat Tak Basah Meski Singapura Banjir Kilat

SINGAPURA – Kelmarin penduduk Singapura gempar apabila beberapa kawasan mengalami banjir kilat sehingga menyebabkan kesesakan teruk trafik apabila banyak jalan utama dinaiki air bah.

Namun tular pula menerusi media sosial apabila seorang netizen tempatan, Layla Bella berkongsi kisah ruang solat Masjid Wak Tanjong tidak digenangi air sama sekali walaupun paras banjir di sekitarnya sudah cecah paras lutut.

Ini kemudian disahkan oleh jurucakap masjid lama setinggi dua tingkat di Paya Lebar Road, Geylang itu yang memberitahu agensi berita MediaCorp bahawa kawasan dewan solat tersebut sebenarnya ‘tidak basah’ sama sekali.

Menurut beliau lagi, banjir kilat yang jejas banyak kawasan di timur Singapura pada Isnin, mulai reda di pekarangan masjid yang dibina di atas tanah wakaf keluarga Haji Hassan Haji Thamby dari Melaka itu sekitar jam 10 pagi.

“Banjir kilat itu memang naik sampai ke paras lutut dalam kawasan masjid, tetapi menurut beberapa pekerja yang kebetulan sedang menjalankan kerja naik taraf di masjid tersebut, ia tidak pula sampai masuk ke ruang solat.

“Air bah hanya memasuki masjid hingga ke kawasan tangga hanya sebelum menghampiri paras lantai ruang solat, tetapi permaidaninya tidak pun basah,” dedah jurucakap masjid yang tidak dinyatakan namanya oleh MediaCorp.

Untuk rekod, masjid dibuka pada 1930-an dan bersebelahan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah itu pernah jalani kerja pemuliharaan sejak 1995 dan antara 16 masjid terlibat dengan fasa 2 Program Peningkatan Masjid Singapura.

Jurucakap Masjid Wak Tanjong itu turut menjelaskan bahawa sebahagian besar harta benda rumah Allah tersebut juga sudahpun dialihkan lebih awal sebelum berlakunya banjir kilat sekali gus tiada barangan yang rosak.

“Mujur tabung derma diperbuat daripada tin. Kawasan aras bawah tanah bocor sedikit, tetapi ia tidak begitu terjejas. Kami dapat membaiki keadaan itu juga,” dedahnya lagi sambil menambah kegiatan ibadah juga berjalan biasa.

Menurutnya, masyarakat Islam setempat dan warga asing turut memasuki kawasan masjid seperti biasa bagi menunaikan solat fardu Zohor pada waktu makan tengah hari itu seolah-olah tiada apa-apa kejadian banjir berlaku.

“Mereka yang biasanya ke sini pada setiap waktu Zohor masih datang ke masjid, seperti biasa,” katanya. Republik itu ketika ini hanya memiliki 75 buah masjid yang dikawal selia oleh pihak Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Kecuali Masjid Temenggung Daeng Ibrahim di Tanjong Pagar yang dimiliki kerajaan Malaysia melalui Majlis Agama Islam Johor, azan dilarang oleh MUIS untuk dilaung ke arah luar bangunan melalui pembesar suara sejak 1974.

Ia atas arahan pihak pemerintah Singapura konon demi keharmonian masyarakat majmuk. Bagaimanapun aktiviti masjid tetap imarah malah penuh dengan jemaah terutama ketika solat Jumaat. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

* Video bawah suasana di luar Masjid Wak Tanjong ketika banjir…

Loading...

Previous
Next Post »
loading...