Finland terkenal sebagai negara yang akan menjadi sebutan sekiranya kita bercakap berkenaan model sistem pendidikan.
Mendahului negara-negara lain termasuklah negara dalam kesatuan Eropah sendiri, sistem pendidikan di Finland dipercayai mampu melahirkan pelajar yang baik, berikutan negara tersebut kerap mendahului senarai kedudukan PISA yang mengkaji prestasi pendidikan di seluruh dunia.
Bagaimanapun, untuk setiap perkara yang baik, pasti akan ada sisi negatifnya yang jarang dibincangkan, apatah lagi apabila kita bercerita tentang pendidikan Finland, 'holy grail' sistem pendidikan dunia. Adakah kelemahan sistem pendidikan Finland banyak diabaikan dan ditutup, atas kejayaan mereka dalam senarai kedudukan dunia semata?
Ya. Perkara itu benar berlaku.
SINDROM PELAJAR SEDERHANA
Secara amnya, pengkritik sistem pendidikan bersetuju satu perkara - sistem Finland melahirkan pelajar yang sederhana secara keseluruhannya. Dalam erti kata kata lain, sistem Finland melahirkan pelajar yang majoritinya mempunyai tahap kemampuan yang sama. Tidak ramai pelajar yang betul-betul cemerlang, tidak ramai pelajar yang lemah - kerana majoritinya sederhana.
Sistem di Finland memang berkemampuan untuk melahirkan pelajar yang mampu mendapatkan kedudukan baik dalam senarai PISA, ini kerana sistem PISA diukur menggunakan sistem yang tidak menitikberatkan kurikulum atau sukatan matapelajaran.
Kekurangan penekanan terhadap kurikulum menjadikan sistem FInland kurangn penekanan pada pelajar ke atas subjek-subjek yang memerlukan kemahiran matematik tinggi; seperti kejuruteraan, sains komputer dan ekonomi. Dalam jangka masa panjang, ini akan memberikan kesan kepada pembangunan negara Finland.
Bagi mereka yang menjadi pendokong sistem pendidikan Finland, tidak ramai yang mahu membincangkan tentang isu bagaimana pelajar Finland mengalami penurunan prestasi yang amat ketara dalam ujian TIMSS dalam tempoh sedekad. Pelajar Finland pada gred ke 8 hari ini mencatatkan prestasi yang jauh lebih rendah dalam matematik berbanding pelajar mereka dalam gred ke 7, pada tahun 1999.
Menurut satu kenyataan bersama tahun 2005, yang dibuat oleh 200 orang professor dari Finland yang diketuai oleh Professor Kari Astala, pakar bidang Matematik dari Universiti of Helsinki, mereka bersetuju kedudukan baik Finland dalam ranking PISA yang dibanggakan menyembunyikan satu masalah besar dalam sistem pendidikan Finland.
Pelajar di Finland memang mempunyai kemahiran tinggi dalam kegunaan matematik harian, istilah yang mereka gunakan digelarkan sebagai 'mathematical literacy.' Matematik yang diperlukan pada tahap sekolah tinggi dan vokasional pula tidak dijadikan kayu ukur sedangkan realitinya, banyak pelajar Finland menghadapi masalah dari segi kemahiran tersebut.
Kumpulan akademik itu bersetuju pelajar di Finland akan menghadapi masalah selagi sistem mereka masih menitik beratkan sistem sama rata yang digunakan. Kurangnya kemahiran dalam pengiraan pecahan, pernyataan masalah, pengasingan geometri, mengira ketumpatan sesuatu objek serta menyelesaikan masalah pernyataan algebra di kalangan pelajar Finland, akan memberi satu masalah besar pada mereka kemudian hari.
Dalam laporan mereka, dinyatakan kerajaan Finland melalui kementerian pendidikan terpaksa menurunkan graf kadar lulus pelajar bagi memasuki kursus matrikulasi kepada 6 markah daripada 60 markah lulus asal. Salah satu penyebab kenapa tindakan itu perlu dilakukan adalah disebabkan oleh sistem pendidikan mereka yang tidak menitik beratkan asas kepada pelajar, sehingga mengakibatkan terlalu ramai pelajar gagal menggunakan skala sebenar.
Pelajar yang masuk ke sekolah rendah tahap 2 di Finland pula selalunya menghadapi kesukaran menerima konsep baru dan lebih banyak menghabiskan masa mempelajari semula apa yang telah mereka pelajari pada tahap 1. Kitaran ini berulang lagi pada peringkat tertiari apabila konsep-konsep penting semasa sekolah menengah tidak dikuasai sepenuhnya pelajar, sehingga menyukarkan indsitusi pendidikan meneruskan pendidikan di tahap lebih tinggi.
SISTEM PENDIDIKAN FINLAND ADALAH IMEJ YANG BERJAYA DIJUAL
Jadi mengapa Finland dianggap sebagai terbaik? Ilusi, kata Gabriel Heller Shalgren, pengarah kepada Centre for Market Reform of Education. Banyak pihak menyalah anggap kejayaan Finland datang daripada perubahan sistem pendidikan mereka kepada satu sistem yang mementingkan liberalisasi pendidikan; tidak mementingkan kedudukan, kurikulum berbentuk formal atau pemberian autonomi kepada pihak guru dianggap sebagai faktor penyumbang kepada kesan positif itu.
Gabriel percaya martabat pendidikan Finland yang dipercayai masyarakat dunia ketika ini, sebenarnya datang daripada faedah-faedah sistem tradisional yang mereka gunakan sebelum sistem liberal itu diperkenalkan lagi. Masalahnya, ekoran kejayaan sistem Finland, negara tersebut kemudiannya dijadikan perbandingan berbentuk positif kepada beberapa buah negara lain, seperti Singapura dan Hong Kong yang lebih menitik beratkan disiplin dalam pembelajaran, yang berlawanan dengan Finland.
Imej liberal pendidikan Finland dikatakan lebih baik berbanding pelajar Singapura sebagai contoh, yang terpaksa bekerja keras menghabiskan masa belajar. Hakikatnya, tidak ada bukti kukuh yang menyokong persepsi kita. Beliau mengingatkan orang ramai supaya jangan lupa memandang sejarah sistem pendidikan Finland sebelum terus membentuk persepsi positif terhadap sistem Finland kerana kebanyakan kesan positif yang dirasai ketika ini, datang sebelum liberalisasi pendidikan Finland diperkenalkan.
DUA FAKTOR BESAR MEMBANTU PENDIDIKAN FINLAND
Ada dua faktor yang sebenarnya sangat membantu sistem pendidikan Finland menjadi penanda aras dunia, yang jarang diperkatakan orang ramai.
Yang pertama, sistem bahasa Finland yang mengamalkan ortografi tulisan sama dengan apa yang disebutkan. Ini memudahkan pelajar di Finland menulis tanpa perlu belajar atau mengingat tentang perkataan-perkataan.
Pelajar di Finland tidak perlu memfokuskan masa belajar mereka untuk menguasai bahasa berbanding pelajar-pelajar lain di seluruh dunia, namun oleh kerana kelebihan ini hanya memberikan impak kepada masyarakat Finland, pelajar Finland didapati bermasalah dalam usaha menjadikan mereka mempunyai kebolehan menguasai dua atau lebih bahasa terutamanya Bahasa Inggeris, yang mempunyai beberapa perbezaan besar dari segi tulisan, tutur kata dan tatabahasa.
Yang kedua, faktor populasi di Finland yang mempunyai kumpulan demografik bersifat homogenous, dengan hanya beberapa kumpulan minoriti kecil menjadi pelengkap tanpa memberi pengaruh besar pada sosio budaya Finland. Ini membolehkan keseimbangan dapat dikekalkan lebih mudah kerana masalah perbezaan pertuturan dan budaya di kalangan pelajar berada pada kadar mudah dikawal.
Dalam kajian tahun 2004 oleh Horst Entorf dan Nicoleta Miniou dari Darmstadt University of Technology mendapati, majoriti negara yang mempunyai demografik kaum yang lebih tertumpu kepada satu bangsa sahaja dan mempunyai peraturan ketat dalam akta imigresen serta kewarganegaraan mereka, negara-negara tersebut mempunyai keputusan ujian PISA yang lebih baik berbanding negara-negara yang mengamalkan tahap keterbukaan lebih besar dalam soal kemasukan pendatang asing.
KESIMPULAN
Kami kerap melihat orang ramai kurang diberikan pendedahan berkenaan aspek lain sistem pendidikan Finland, dengan sistem tersebut dikatakan seboleh-bolehnya mahu terus diadaptasi pada negara kita atas faktor kejayaan mereka. Tidak dinafikan sistem pendidikan mereka diiktiraf paling baik di dunia dalam ujian PISA, kerana sistem pendidikan mereka dan budaya mereka mesra PISA.
Kenyataannya, sistem yang diguna pakai Finland sesuai untuk masyarakat Finland, tetapi besar kemungkinan tidak akan berkesan untuk kita. Buktinya ada.
Andainya dengan meniru sebiji-sebiji sistem pendidikan Finland mampu menjadikan sistem pendidikan kita lebih baik, apa yang kita belajar jika kita hanya tahu meniru Finland dengan mengambil pendekatan mereka untuk cuba disesuaikan kepada masyarakat kita?
Seperti pepatah barat selalu mengatakan, it's like trying to fit in a square pegs into a round hole.
Rujukan
Why Finnish School lessons is useless?
The Spectator