Siapa saja pastinya mempunyai masa silam. Ada yang manis dan pastinya sejarah silam yang gelap mahu dilupakan buat selamanya. Itulah yang terjadi kepada Elise Rainier di dalam filem Insidious: The Last Key.
Jika anda pengikut tegar filem ini, pastinya anda akan mengetahui bahawa Elise merupakan seorang pakar dalam mengendalikan perkara berkaitan paranormal. Bagaimanapun ramai yang tidak mengetahui bahawa Elise turut mempunyai sejarah silam yang mahu dilupakannya.
Mula mendapat panggilan dari seorang individu yang meminta pertolongan daripadanya, Elise sudah merasakan kehadiran kejahatan yang tidak mampu dikawalnya. Malah dia turut berkeras untuk tidak mahu meneruskan bantuan dari panggilan tersebut.
Lebih malang buat Elise, rumah yang berhantu itu sebenarnya merupakan rumah yang pernah didiaminya sebelum ini dan lebih menyayat hati, terdapat 1001 kisah pernah terjadi di dalam rumah tersebut yang pastinya mencetuskan kembali ingatan laman Elise.
Dan melalui plot cerita sebegini, penonton turut diseret sama untuk berhadapan dengan ketakutan Elise dalam The Further.
Sama seperti 3 barisan filem ini yang lain, kejutan demi kejutan di dalam filem ini pastinya membuatkan anda tidak duduk senang. Kadang-kadang bunyi telefon berdering pun mampu membuatkan anda terjerit. Mujur juga ada watak Specs dan Tucker yang kadang-kala membuatkan anda sedikit terhibur.
Apa yang pasti, filem Insidious: The Last Key mendedahkan sedikit demi sedikit apa yang pernah berlaku di rumah yang dikatakan berhantu itu.
Tidak mahu ceritakan segalanya buat anda di sini, apa yang kami boleh katakan tentang filem ini ialah ia bakal menjawab persoalan tentang diri Elise sendiri. Elemen seram dan juga kejutan diadun dengan cukup sempurna.
Risau juga nanti kebanyakan masa anda di dalam panggung wayang banyak dihabiskan dengan menutup mata dan juga penat menjerit ketakutan. Bagi anda yang belum menonton Insidious: The Last Key, kini ia telah ditayangkan di seluruh pawagam berhampiran anda.
Pesanan: Pastikan tempat duduk di sebelah anda tidak kosong, risau nanti meremang bulu roma tidak tentu pasal.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW