PATTANI – Sembilan anggota Renjer Thailand cedera, tiga daripadanya parah apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terkena letupan bom di daerah Nongchik, di wilayah bergolak Pattani, selatan negara itu.
Menurut penolong ketua polis bahagian siasatan Nongchik, Kapt Akkarat Jiacharen, kejadian tersebut berlaku kira-kira 10.30 pagi waktu tempatan ketika anggota Renjer itu dalam perjalanan ke sebuah sekolah rendah di Ban Saimo.
“Mereka mahu ke Sekolah Rendah Ban Saimo untuk menyiasat perbuatan membakar Kamera Litar Tertutup (CCTV) di hadapan sekolah itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Pihak polis katanya percaya, bom buatan sendiri seberat 50kg itu telah ditanam di jalan raya itu dan diaktifkan menggunakan walkie-talkie, yang turut menghasilkan lubang sedalam dua meter di jalan raya terbabit.
Anggota Renjer yang cedera itu telah dihantar ke Hospital Pattani untuk rawatan lanjut. – BERNAMA
Loading...