loading...

6 Disiplin masyarakat Jepun yang dipupuk sejak kecil (Bahagian 1)

semangat sayangkan negara

Ramai menganggap sesebuah negara itu akan berjaya jika Perdana Menteri atau Presiden negara tersebut hebat. Namun tanpa kita sedari sebenarnya rakyat memainkan peranan lebih penting daripada pemimpin sesebuah negara itu sendiri kerana rakyat lebih ramai daripada pemimpin dan mampu membuat satu perubahan kepada negara.

Negara Jepun boleh dianggap sebagai negara yang hebat kerana rakyat negara mereka yang memainkan peranan penting dalam memajukan negara tersebut. Pemimpin hanya bertindak sebagai penunjuk arah masa depan tetapi rakyat yang mampu merealisasikan arah yang ingin ditujui tersebut. Kejayaan negara Jepun boleh direflekskan balik kepada rakyat negara mereka itu sendiri.

Faktor-faktor kejayaan negara Jepun adalah disebabkan nilai-nilai yang ada kepada rakyat mereka. Mari kita lihat apakah faktor-faktor kejayaan tersebut.

1. Rajin dan Kerja Keras

orang jepun sangat rajin dengan slogan gambare ganbatte

Umum mengetahui tentang kerajinan rakyat negara Jepun dan secara purata waktu pekerjaan mereka juga merupakan antara yang tertinggi jika dibandingkan dengan negara lain. Purata waktu pekerjaan di Jepun ialah 2450 jam per tahun iaitu satu nilai yang tinggi jika dibandingkan dengan Amerika (1957 jam/tahun), UK (1911 jam/tahun) dan Jerman (1870/tahun).

Seorang pekerja di Jepun mampu menghasilkan sebuah kereta dalam masa 9 hari tetapi pekerja di negara-negara lain memerlukan 47 hari untuk sebuah kereta yang mempunyai nilai yang sama. Pekerjaan yang dilakukan oleh seorang rakyat Jepun juga dikatakan bersamaan dengan 5-6 orang pekerja biasa.

Jika anda pulang dari kerja pada awal waktu, anda akan dipandang serong oleh masyarakat negara Jepun kerana ia dianggap biadap. Sebuah syarikat di Jepun akan merasakan anda sebagai seorang pekerja yang tidak diperlukan hanya kerana anda pulang ke rumah awal waktu dan ini sendiri menunjukkan betapa hebatnya budaya mereka.

Budaya ini menjadi faktor utama dalam kejayaan negara Jepun dan amat berlainan jika kita bandingkan budaya yang mereka amalkan dengan apa yang kita amalkan di Malaysia. Di Malaysia, jika kerja habis pukul 5.00 petang, kadang-kadang pukul 4.30 kita sudah pulang dengan bermacam-macam alasan yang kita berikan seperti untuk mengelak trafik, perlu mengambil anak daripada kelas petang dan sebagainya. 

2. Perasaan Malu Rakyat Jepun

samurai jepun seppuku simbolik maruah perlu dijaga

Perasaan malu merupakan satu budaya yang diturunkan dari nenek moyang mereka lagi. Pasti ramai yang mendengar kisah Samurai yang akan membunuh diri mereka jika mereka telah gagal dalam menjalankan tanggungjawab yang diletakkan ke atas mereka. Budaya ini masih lagi dipakai sehingga ke hari ini dan ini merupakan salah satu kejayaan mereka.

Harakiri iaitu budaya membunuh diri dengan menusuk pedang ke perut sudah tertanam pada Samurai ketika era Samurai Jepun jika mereka telah kalah dalam peperangan. Dalam dunia moden pula, mereka tidak lagi membunuh diri tetapi ia telah berubah sedikit sebanyak untuk menyesuaikannya dengan zaman yang mereka tinggal pada hari ini. 

Perasaan malu itu dalam berbagai bentuk pada hari ini seperti mereka tidak memotong pemandu lain di jalan raya dan sanggup mengambil jalan yang panjang hanya kerana mahu melanggar peraturan negara mereka sendiri. Mereka berasa malu jika mereka telah melakukan melanggar peraturan kerana mereka merasakan diri bahawa mereka telah mencemarkan persekitaran sekeliling dengan kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan.

Banyak perbezaan dengan negara yang kita tinggal sekarang kerana di Malaysia kita tidak berasa malu sedikit pun dengan kesalahan-kesalahan yang telah kita lakukan malah ada di antara kita yang bangga dengan kesalah tersebut. Contohnya jika rakyat Malaysia membuang sampah merata-rata, tiada sedikit pun perasaan malu atau bersalah semasa melakukan tabiat buruk tersebut.

3. Hidup Sederhana

keluarga jepun mengamalkan hidup sederhana

Ajaran Islam sendiri amat menggalakkan kehidupan sederhana dan tidak terlalu mewah dalam perbelanjaan seperti membeli-belah di pusat membeli-belah, perbelanjaan untuk makanan dan bermacam-macam lagi. Di Jepun, rakyat mereka sudah merasakan perbelanjaan berlebihan itu satu perkara yang sia-sia dan membazir.

Sudah menjadi budaya mereka untuk berbelanja dengan apa yang perlu sahaja dan mereka juga tidak terlalu jimat sehinggakan hanya membeli barang yang murah kerana mereka juga mementingkan kualiti cumanya ia tidak sehingga terlalu membazir. Itulah maksud kesederhanaan yang diamalkan oleh masyarakat negara mereka yang menyebabkan mereka sebuah negara yang maju.

Di kebanyakkan pusat membeli belah di Jepun, rakyat negara mereka selalunya akan membeli belah pada pukul 7.30 malam kerana pada waktu ini promosi barangan setengah harga ditawarkan oleh kebanyakkan pusat membeli belah. Pusat membeli-belah ini akan ditutup pada pukul 8.00 malam dan ini menunjukkan bagaimana produktifnya mereka dalam menghargai masa kerana hanya 30 minit digunakan untuk membeli barangan harian.

Sebaliknya di Malaysia, kita banyak menghabiskan wang kepada benda-benda yang tidak diperlukan dan terlalu mewah dalam perbelanjaan. Kadang-kadang pada bulan puasa kita dapat lihat banyak makanan yang tidak habis akibat boros semasa membeli yang mana akhirnya makanan ini dibuang begitu sahaja. Jika kita dapat membudayakan kesederhanaan dalam masyarakat Malaysia, sudah tentu kemajuan dapat dikecapi di negara ini.

4. Kesetiaan

jepun setia sebab itu maju

Nilai kesetiaan ini banyak kali kita dengar setiap hari dan ia juga merupakan Rukun Negara yang kedua iaitu "kesetiaan kepada raja dan negara". Kesetiaan yang diterapkan di negara mereka memang tidak boleh dibandingkan dengan negara-negara lain kerana mereka bukan sahaja setia dengan negara mereka, mereka juga setia dengan syarikat yang mereka bekerja.

Di negara Jepun, ia merupakan suatu perkara yang agak jarang berlaku jika seseorang pekerja berubah tempat pekerjaan mereka daripada satu syarikat kepada syarikat yang lain. Sistem di negara seperti Amerika dan negara-negara Eropah juga berbeza kerana kebanyakkan pekerja di negara ini banyak berhijrah tempat kerja.

Di negara Jepun juga, mudah untuk lepasan ijazah untuk mendapat kerja kerana syarikat-syarikat akan mengambil lepasan ini dan akan diterapkan nilai-nilai syarikat tersebut ke dalam diri pekerja tersebut.

Disebabkan kesetiaan yang sangat kuat diterapkan dalam diri mereka kepada syarikat dan negara mereka, ini menyebabkan mereka sanggup mengorbankan banyak perkara seperti masa dan wang mereka untuk melihat syarikat dan negara mereka untuk terus maju. Setiap pekerjaan yang mereka lakukan, mereka akan mengingati bahawa apa yang mereka lakukan itu untuk kebaikan syarikat dan negara mereka.

Berlainan pula di Malaysia, ramai juga pekerja yang berpindah tempat kerja ke syarikat dan negara lain untuk mendapat wang yang lebih lumayan. Tidak salah untuk berpindah tempat kerja tetapi jika ia selalu sangat dilakukan, ia hanya memberi kebaikan kepada diri sendiri tetapi syarikat dan negara tidak akan mendapat kebaikan tersebut.

5. Menepati Masa dan Bertimbang Rasa

jepun menepati masa sebab itu hebat

Inilah salah satu perkara yang sangat hebat tentang negara Jepun. Masa merupakan satu perkara yang amat dititikberatkan oleh semua rakyat negara mereka bukan sahaja kepada pekerja, malah juga buat servis-servis seperti kereta api dan lain-lain. Mereka sangat menghargai masa walaupun sesaat dan ini menyebabkan perkara yang dilakukan mereka sangat produktif kerana tiada masa untuk "melepak".

Di Jepun, jika servis kereta api atau tren mereka hanya lambat 1 minit, pekerja tren tersebut akan pergi ke setiap penumpang dan meminta maaf kerana telah merosakkan hari mereka. Mereka juga akan memberi slip kepada pelajar sekolah dan pekerja-pekerja dan slip ini akan menerangkan yang mereka lambat kerana kesilapan servis kereta api. Ini menunjukkan betapa serius mereka menitikberatkan masa dan perihal orang lain.

Rakyat negara Jepun tidak mementingkan diri sendiri kerana budaya mereka sangat bertimbang rasa tentang orang lain menyebabkan banyak perkara mereka lakukan akan memberi faedah kepada orang lain dan bukan bertujuan untuk menyusahkan. Contohnya, mereka akan berdiri di sebelah kiri eskalator bagi memudahkan pengguna lain yang sedang tergesa-gesa untuk menggunakan eskalator di sebalah kanan.

Sebaliknya di negara Malaysia, kadang-kadang rakyat Malaysia mengambil ringan tentang masa dan selalunya kita tidak memikirkan tentang perihal orang lain. Contohnya, ramai yang tidak menepati masa apabila masa tersebut sudah dipersetujui oleh dua pihak dan istilah "on the way" sudah biasa disalahgunakan. Selain itu, ramai pemandu di Malaysia yang tidak memikirkan tentang orang lain kerana ada yang tidak memberi isyarat semasa ingin bertukar haluan dan ini boleh menyebabkan kemalangan.

6. Tidak bersifat individualistik, hanya kerjasama

orang jepun sangat bekerjasama

Budaya Jepun tidak melibatkan kehebatan seorang individu namun ia membangun sebagai sebuah negara yang sangat mementingkan kerjasama. Di syarikat-syarikat negara Jepun, sukar untuk seseorang itu menyerlah seorang diri kerana hasil kerja selalunya datang daripada hasil kesemua ahli kumpulan. Tiada sifat individualistik yang ditunjukkan oleh mana-mana pekerja Jepun kerana mereka sentiasa bekerjasama menyiapkan tugasan yang diberi.

Walaupun bekerja sebagai kumpulan, tiada seorang pun yang akan mencuri tulang kerana tiada siapa pun yang akan terlepas daripada melakukan kerja di negara ini. Jika seseorang itu suka mengelat daripada melakukan tanggungjawab, tiada syarikat di Jepun yang akan mahukan pekerja seperti itu jadi secara automatik dia hanya mampu menganggur seumur hidup jika dia tidak mengubah sikap itu.

Mereka juga akan memulaukan seseorang yang pentingkan diri sendiri menyebabkan dia sendiri sedar akan kesalahan dan terus berubah. Masyarakat Jepun juga mempunyai satu budaya yang dipanggil sebagai "rin-gi". Rin-gi ialah satu budaya di mana semua orang bersetuju dengan satu keputusan yang dibuat. Keputusan yang strategik mesti dibincang dengan "rin-gi" dan ini juga membuatkan negara mereka begitu hebat.

Kerjasama ini bukan sahaja diamalkan di tempat kerja malah masih kekal di sekolah dan universiti kerana sistem mereka amat menggalakkan kerjasama dalam kumpulan. Di Malaysia, banyak juga aktiviti kerjasama dilakukan namun ramai juga yang suka mengelat dan hanya datang untuk mengisi nama ketika kerja sudah siap. Ini merupakan tabiat yang harus diubah.

Pautan seterusnya: Bahagian 2

Previous
Next Post »
loading...