loading...

180 Anggota 10 Briged (Para) IIkuti Latihan Payung Terjun

KOTA BELUD – Seramai 180 anggota daripada 10 Briged (Para) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan latihan pengguguran payung terjun bagi menguji tahap kesiapsiagaan pasukan itu di Kampung Rampayan, dekat sini hari ini.

Panglima 10 Briged (Para) Brig Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata latihan penerjunan yang dinamakan Eksesais Gempur IX 2017 itu bertujuan menguji kemahiran setiap anggota dalam melakukan terjunan dengan selamat.

“Apa yang kami uji ialah kemampuan setiap anggota untuk mendarat dengan selamat secara berkumpulan dan seterusnya mampu menjalankan tugas secara berkumpulan.

“Penerjunan ini dijalankan dengan ketinggian 1,000 kaki dan semua anggota melakukan terjunan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan latihan itu di sini hari ini.

Beliau berkata anggota 10 Briged (Para) yang terlibat dalam latihan itu adalah daripada Batalion Kesembilan Rejimen Askar Melayu Diraja (9 RAMD).

“Beliau berkata selain latihan penerjunan terdapat beberapa latihan lain dijalankan dalam eksesais selama tiga hari bermula semalam itu termasuk latihan taktikal gerak cepat dalam apa juga medium sama ada udara, laut, atau darat,” katanya.

Tengku Muhammad berkata 10 Briged (Para) merupakan pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang mempunyai keupayaannya melakukan atur gerak dan menggempur kedudukan musuh dengan pantas dan berkesan.

10 Briged (Para) adalah anggota elit kerana peranan pengkhususan dari segi kepakaran, ketangkasan, bersemangat waja dan berani.

Setiap anggota yang bergelar ‘Para’ diwajibkan mengikuti latihan pengguguran payung terjun dan pelbagai taktik tempur.

Briged elit ini terdiri daripada 9 RAMD, Batalion ke-17 RAMD, Batalion kelapan Rejimen Renjer Diraja (8 Renjer), yang merupakan ketumbukan utama dalam briged ini, dengan dibantu oleh elemen-elemen daripada Rejimen Artileri Diraja, Rejimen Askar Jurutera Diraja, Rejimen Semboyan Diraja, Kor Perkhidmatan, Kor Armor Diraja, Kor Ordnans Diraja, Kor Kesihatan Diraja, Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja, Kor Polis Tentera Diraja dan Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat). – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...