KUALA LUMPUR – Wujud keperluan bagi usaha yang kolektif dan bersepadu daripada semua pihak berkepentingan untuk memastikan pembaharuan perumahan mampu milik dilaksanakan dengan cekap, menurut Bank Dunia.
Pengurus Negara Malaysia, Faris H. Hadad-Zervos, berkata langkah ini memerlukan banyak institusi untuk memainkan peranan mereka, termasuk kerajaan, bank dan agensi seperti National Mortgage Corp dan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia.
“Ini (perumahan mampu milik) merupakan isu yang amat penting dalam agenda dan ucapan bajet baru-baru ini yang mempunyai segmen besar dan memberi tumpuan kepada isu tersebut.
“Saya fikir isunya bukan mengenai apa model (perumahan mampu milik) yang paling berkesan, tetapi pembaharuan yang menyeluruh yang memerlukan semua pihak bekerjasama, supaya apa jua penyelesaian, benar-benar mencerminkan semua pihak dan keutamaan kini adalah bagaimana semua pihak perlu bekerjasama dan menyelaraskan pembaharuan,” katanya kepada pemberita selepas perbincangan panel mengenai ‘Navigating the Affordable Housing Market in Urban Cities’, di sini hari ini.
Turut hadir Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Norzila Abdul Aziz.
Perbincangan panel itu merupakan sebahagian daripada pelbagai sesi khas yang diadakan di Forum Bandar Sedunia Ke-9.
Ahli panel, yang termasuk beberapa wakil Bank Dunia, bertukar-tukar idea dan mengkaji cara kreatif untuk menangani halangan yang menghalang pembangunan perumahan mampu milik. – BERNAMA
Loading...