loading...

‘Abang Fahmi’ Tumpas Dalam Tempoh Sejam

KUALA LUMPUR – Tindakan pantas polis Kuala Lumpur yang menyelesaikan kes samun bersenjata dalam tempoh kurang sejam berjaya menahan empat lelaki daripada kumpulan ‘Abang Fahmi’ yang cuba memajak gadai barangan kes samun di Chow Kit, pada 26 Jan lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata ketika itu, pihaknya sedang membuat pemantauan di sekitar Chow Kit dan melihat dua motosikal dinaiki empat suspek yang mencurigakan menghampiri sebuah kedai pajak gadai.

Beliau berkata polis yang melihat kejadian itu, segera menahan kesemua suspek yang berusia lingkungan 18 hingga 29 tahun itu.

“Hasil soal siasat kesemua suspek telah mengaku terlibat samun rantai emas di sebuah kedai emas di Kepong dan turut menyamun seutas rantai leher bernilai RM6,000 miilik seorang lelaki.

“Susulan penahanan suspek itu, polis juga merampas pelbagai barangan kes termasuk dua motosikal, seutas rantai leher, lapan telefon bimbit pelbagai jenama, sebilah pedang samurai dan pisau lipat serta empat topi keledar yang digunakan kesemua suspek.

“Dengan penahanan mereka ini juga polis berjaya menyelesaikan 21 kes di sekitar Lembah Klang yang dilakukan kumpulan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini.

Kesemua suspek direman pada 26 Jan lepas sehingga esok manakala kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...