loading...

Pyongyang: Itu Bukan Jong-Nam

Wakil tetap Korea Utara ke PBB menafikan lelaki yang mati dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu adalah abang tiri pemimpin tertinggi negara tersebut, Kim Jong-un.

Bercakap kepada media semalam, Kim In-ryong turut menyalahkan AS dan Korea Selatan atas pembunuhan lelaki yang sudah disahkan oleh polis Malaysia sebagai Kim Jong-nam, abang tiri Jong-un.

Kata In-ryong, kes pembunuhan itu adalah “produk kepada langkah melulu pihak berkuasa AS dan Korea Selatan bertujuan mencemar imej dan maruah” Korea Utara serta “meruntuhkan sistem sosialis”.

In-ryong berkata demikian pada sidang media diadakannya bagi mengecam kenyataan Majlis Keselamatan PBB baru-baru ini yang mengutuk ujian peluru berpandu Korea Utara sebagai mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Dia bagaimanapun mengakui lelaki yang diracun dengan bahan beracun pada bulan lalu itu adalah warga Korea Utara dan memiliki pasport diplomatik.

“Tanpa sebarang asas AS dan pihak berkuasa Korea Selatan menyalahkan Korea Utara, dengan menegaskan bahawa lelaki terbabit diracun dengan bahan VX,” katanya.

Kata duta terbabit, langkah itu diambil Washington untuk mengumpul sokongan antarabangsa menentang Korea Utara bagi merangsang perang nuklear dengan apa cara sekali pun.

In-ryong turut mempertikaikan dari mana dua penyerang Jong-nam memperoleh gas saraf berbahaya terlarang itu, dan pada masa sama menyatakan, AS memiliki simpanan “senjata haram”.
Dia kemudian berkata, keadaan dua penyerang di KLIA2 itu yang tidak terjejas semasa menyapu bahan VX kepada mangsa sebagai “tidak masuk akal”.-Bernama



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...