loading...

Obama Terima Tawaran Tertinggi Tulis Memoir

WASHINGTON – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan isteri, Michelle Obama menandatangani perjanjian penerbitan buku memoir bersama Penguin Random House, kata syarikat percetakan berkenaan kelmarin seperti laporan akhbar The Guardian.

Bayaran yang ditawarkan untuk buku itu tidak didedahkan, namun menurut akhbar Financial Times, tawaran yang diberikan kepada Obama dan isterinya melepasi angka AS$60 juta (RM267 juta) sekali gus rekod baharu untuk memoir Presiden AS.

Sebagai perbandingan, bekas Presiden AS, Bill Clinton yang juga anggota Parti Demokrat seperti Obama mendapat bayaran AS$15 (RM66 juta) untuk buku memoirnya pada 2004, My Life, manakala Presiden sebelum Obama pula, George W Bush dibayar AS$10 juta (RM44 juta) untuk buku Decision Points pada 2010.

“Kami sungguh teruja untuk meneruskan perkongsian penerbitan bersama Obama dan Michelle,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Random House, Markus Dohle dalam satu kenyataan.

Obama dan isteri diwakili Robert Barnett dan Deneen Howell daripada firma Williams & Conolly dalam rundingan bagi menerbitkan memoir tersebut.

Pasangan Obama merancang mendermakan sebahagian besar perolehan jualan buku mereka kepada badan amal termasuk Yayasan Obama.

Rekod bayaran pendahuluan memoir Presiden AS sebelum ini ialah AS$15 juta untuk buku Bill Clinton, My Life. – Agensi/Kosmo

 



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...