WASHINGTON – Seorang bekas diplomat kanan tidak menolak kemungkinan Pyongyang menjual senjata kimia kepada kumpulan pengganas berdasarkan kepada penggunaan agen saraf VX dalam pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam baru-baru ini.
Bekas Pembantu Setiausaha Negara, Amerika Syarikat (AS), James Rubin semasa memberi amaran mengenai perkara itu berkata, kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda mungkin menjadi sasaran penjualan bahan berkenaan untuk mendapatkan wang, lapor agensi berita Korea Selatan, Yonhap.
Bahan kimia VX merupakan bukti kukuh bahawa Korea Utara merupakan dalang di sebalik pembunuhan Jong-nam di Kuala Lumpur pada 13 Februari lalu, lapor agensi berita berkenaan.
VX merupakan agen kimia yang disenaraikan sebagai senjata pemusnah besar-besaran oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan penggunaannya diharamkan di bawah Konvensyen Senjata Kimia yang tidak ditandatangani Pyongyang.
“Kebimbangan peningkatakan penggunaan senjata kimia VX di tangan pengganas kini menjadi lebih besar,” kata Rubin dalam artikel di Politico.
“Penghantaran bahan kimia VX dari Korea Utara ke Malaysia melanggar undang-undang antarabangsa walaupun Pyongyang tidak menandatanganinya,” lapor Yonhap memetik kenyataan Rubin.
Rubin turut menegaskan bahawa penggantungan import arang batu China dari Korea Utara menyebabkan Pyongyang hilang salah satu sumber kewangan terbesar, manakala Al-Qaeda dan kumpulan pengganas yang lain bekerja keras untuk mendapat senjata pemusnah besar-besaran.
“Jelas sekali ini merupakan ‘perkahwinan’ menakutkan antara keganasan dan senjata pemusnah besar-besaran yang dianggap pentadbiran George W. Bush sebagai justifikasi bagi peperangan di Iraq.
“Ia akan menjadi alasan paling munasabah untuk menjangkakan Presiden Donald Trump dan pasukannya akan bekerja keras bagi mengelakkan sebarang kemungkinan,” jelas Rubin. – Bernama
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW