loading...

Kisah Dua Remaja Memulakan Syarikat Gergasi UPS Dengan Modal $100

kapal terbang ups

Pada tahun 1907, wujud keperluan yang besar di Amerika untuk perkhidmatan penghantaran mesej dan juga penghantaran barangan.

Melihat keperluan dan peluang yang ada, James Casey atau Jim yang senantiasa cuba menghidu peluang untuk mewujudkan perniagaan, memberanikan diri meminjam $100 daripada rakannya bagi menubuhkan syarikat perkhidmatan penghantaran.

Syarikat itu dinamakan sebagai American Messenger Company dimulakan di Seattle dengan menggunakan modal tersebut. Pernah bekerja dengan beberapa syarikat yang menawarkan perkhidmatan serupa, pengalaman yang dikumpul membuatkan Jim yakin mampu mengendalikan perniagaan beliau.

Memulakan operasi dengan keuntungan minima

pejabat ups pada zaman permulaan

Bekerjasama dengan rakan kongsi beliau yang bernama Claude Ryan, mereka memulakan operasi di sebuah pejabat kecil bawah tanah yang menjadi laluan orang ramai. Jim dan Claude bertindak sebagai pengurus di pejabat, sementara adiknya, George Casey dan beberapa orang remaja lain ke sana ke mari menguruskan penghantaran. Bagi menarik pelanggan ekoran saingan yang ada, Jim menggunakan model perniagaan yang ketat - prinsip harga murah dan servis terbaik dijadikan motto American Messenger Company.

Sistem telekomunikasi ketika itu yang masih menggunakan telegram membuatkan permintaan servis mereka bertambah, selain daripada penghantaran barangan, makanan dan juga bermacam pakej.

Oleh kerana ketiadaan kenderaan pada waktu tersebut kerana kenderaan baru saja diperkenalkan dan memerlukan kos yang tinggi, penghantar American Messenger Company melakukan tugas dengan berjalan kaki atau menggunakan basikal.  Ini mengehadkan saiz barangan yang mampu mereka uruskan.

Penubuhan Merchants Parcel Delivery

setem pra pembayaran

Setelah beroperasi lebih enam tahun, American Messenger Company mula merasakan perlunya perubahan pada model perniagaan mereka.

Kewujudan teknologi yang semakin pesat berkembang seperti kenderaan dan telefon menyebabkan keperluan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan mereka menurun.

Telegram kini sudah tidak lagi popular seperti biasa. Menyedari perlunya mereka menukar format perniagaan, Jim bertindak menggabungkan syarikatnya dengan sebuah syarikat pesaing yang bernama Motorcycle Delivery Company. Syarikat milik Evert McCabe atau digelarkan Mac itu merupakan syarikat penghantaran pertama di kawasan itu yang menggunakan motosikal.

Idea untuk menggabungkan operasi mereka datangnya daripada Jim dan Claude yang mahu mereka bekerjasama dalam menguruskan penghantaran untuk pasaraya-pasaraya yang menjual barangan di Seattle. Setelah perbincangan panjang, kesemua pihak bersetuju. Jim dan Claude berpindah ke pejabat Mac yang terletak di Union Court. Dengan penggabungan itu, Merchants Parcel Delivery tertubuh untuk memfokuskan kepada urusan penghantaran pakej pasaraya yang ada di Seattle, dengan tenaga kerja bermotosikal seramai 25 orang penghantar.Mac McCabe dilantik sebagai Presiden pertama Merchants Parcel Delivery dan mereka pun mula berkhidmat dengan slogan baru; "We Cover Seattle."

Permulaan menggunakan kereta

kereta pertama ups

Masalah penghantaran kerap dihadapi penghantar mereka kerana mereka masih menggunakan motosikal dan ini menyebabkan jumlah barangan yang mampu dibawa terhad. Ini memerlukan penghantar berulang alik beberapa kali. Bagi memudahkan urusan, mereka bertiga memutuskan untuk membeli sebuah kereta Ford Model T yang kemudiannya diubahsuai.

Kerangka kereta tersebut diubah dan dipasangkan badan van, yang membolehkan 'kereta' mereka itu mampu membawa 50 pakej serentak, Cat merah terang digunakan dengan nama syarikat mereka tertera megah pada dinding kereta itu.

Dua tahun selepas membeli kereta pertama mereka, pada tahun 1915, Merchants Parcel Delivery berjaya mempunyai empat kereta, lima motosikal dan 30 orang penghantar. Syarikat mereka menguasai perkhidmatan penghantaran di Seattle namun untuk membesarkan perniagaan, mereka memerlukan suntikan dana yang lebih besar bagi membeli lebih banyak kenderaan.

Pertemuan dengan Charlie Soderstrom

jim casey dan george casey

Ketika meninjau tentang kenderaan yang sesuai, Jim bertemu dengan Charlie Soderstrom, seorang peniaga dan pemandu yang mempunyai pengalaman luas tentang kereta. Mendengar masalah Jim tentang perniagaannya, Charlie meletakkan dana $10,000 sebagai stok dan menjadi rakan kongsi syarikat mereka secara rasmi pada tahun 1916.

Charlie adalah individu yang memberikan pengaruh paling besar pada tradisi syarikat itu yang masih diamalkan sehingga kini. Mereka mula tidak takut untuk melabur dalam perkara yang paling penting untuk sebuah syarikat penghantaran - sistem pengangkutannya. Charlie menguruskan sistem 'fleet' mereka, kesemua kenderaan selalu diperiksa, dipastikan sentiasa bersih dan Charlie mewujudkan satu protokol yang perlu diikuti dalam menjaga kenderaan gunaan penghantar.

Charlie juga adalah individu yang bertanggungjawab mengubah warna rasmi mereka kepada warna coklat yang masih digunakan sehingga ke hari ini. Perbincangan Charlie dengan seorang pelukis yang bernama Charles Place memberikan idea untuk mereka menukar warna mereka. Warna yang digelarkan 'Pullman Brown' atau 'Coklat Pullman' didapati mampu kekal menonjolkan kenderaan mereka dalam apa jua jenis cuaca.

Bangkit pelepas Perang Dunia Pertama

gambar lama ups dulu

Perang dunia pertama membawa masalah kepada Merchants Parcel Delivery. Ramai pekerja mereka dipanggil bertugas dalam perang, termasuklah adik Jim, George yang sudah lama berkhidmat.

Bagaimanapun, keadaan sulit akibat peperangan dan kekurangan tenaga kerja yang mengganggu operasi pasaraya menyebabkan kebanyakan pasaraya yang selama ini menghantar barangan sendiri kepada pembeli, mula menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan Merchants Parcel Delivery pula.

Walaupun sedikit terjejas dengan kekurangan tenaga kerja, Merchants Parcel Delivery terus menawarkan khidmat dengan apa cara sekalipun sewaktu perang melanda. Hasilnya, selepas tamat Perang Dunia pertama Merchants Parcel Delivery mula melakukan rombakan terbesar mereka.

Claude Ryan, rakan kongsi Jim sejak mula menarik diri daripada syarikat mereka. Tempat Claude digantikan oleh George yang pulang selepas menamatkan perkhidmatan dengan tentera laut. Bermula pada tahun 1919, Jim Casey, George Casey, Every McCabe dan Charlie Sodenstrom menjadi rakan kongsi secara rasmi.

Mereka mula memikirkan untuk membuka cawangan di bandar lain dan memilih untuk membuka cawangan di Oakland, California. Pada waktu tersebutlah Merchants Parcel Delivery menukar namanya kepada United Parcel Service, yang kekal digunakan sehingga kini.

Tiba waktu persaraan

jim casey ups

Siapa sangka idea Jim untuk menubuhkan syarikat penghantaran pada usia remaja benar-benar berjaya. Bermula dengan modal $100 di sebuah pejabat kecil yang terletak di bawah tanah, dihiasi bising orang lalu lalang, UPS kini adalah sebuah syarikat bernilai lebih $80 billion dengan keuntungan bersih tahunan melebihi $50 billion.

Mempunyai cawangan di 200 buah negara, UPS merupakan syarikat penerbangan ke-9 terbesar dunia dengan keupayaan 268 buah pesawat. Apa yang lebih membanggakan, UPS merupakan antara majikan paling pemurah dengan purata pemandu mereka dibayar sebanyak $69,500 setahun di Amerika Syarikat.

Jim berhenti berkhidmat dengan UPS pada tahun 1962 namun terus menjadi pemegang saham syarikat yang dibangunkannya dari kosong. Pada tahun 1983, Jim Casey  meninggal dunia akibat sakit tua, meninggalkan warisan kerja yang efisien dan tradisi sistem penghantaran barangan yang menjadi acuan kepada seluruh dunia.Begitulah bagaimana dua orang remaja memulakan sebuah syarikat gergasi dengan modal $100 dengan hanya visi untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat mereka.

Previous
Next Post »
loading...