Negara Sweden merupakan salah satu negara Scandinavia yang terletak di Eropah. Negara ini juga dikenali dengan syarikat menjual perabotnya yang mempunyai cawangan di seluruh dunia iaitu Ikea. Ramai rakyat Malaysia yang sudah ke Ikea samada untuk membeli perabot atau mencuba hidangan terkenalnya iaitu meatball. Bukan itu sahaja malah negara ini juga dikenali dengan kekayaan dan penjagaan hal kebajikan rakyatnya yang sangat bagus.
Akan tetapi Sweden mempunyai masalah sampah sehingga ia mengumumkan bahawa sedang darurat sampah. Anda jangan salah anggap, bukan kerana ia mempunyai terlalu banyak sampah akan tetapi negara maju ini sebenarnya kekurangan sampah dan membuatkan banyak pusat pelupusan sampahnya hampir lumpuh.
Ini disebabkan sikap rakyatnya yang prihatin tentang alam sekitar dan sikap kitar semula pengguna. Negara ini menyerapkan sikap baik ini sejak dari bangku sekolah lagi. Jadi tidak hairanlah jika Sweden merupakan salah satu negara dengan pengeluaran sampah yang paling rendah.
Sebagai salah satu daripada langkah penyelesaiannya negara Sweden terpaksa mengimport sampah dari negara luar yang lain seperti United Kingdom. Jika tidak berbuat demikian maka masalah lain mungkin akan timbul kerana sampah di Sweden juga diproses untuk dijadikan tenaga elektrik.
Bayangkan Sweden hanya membuang sisa di tapak sampah cuma sebanyak 1% sahaja setelah diproses. Syarikat pelupusan sampah di sana memproses 99% sampah sehingga habis. Sebanyak 32 pusat pelupusan sampah yang kebanyakannya membakar sampah mereka untuk dijadikan sumber tenaga yang digunakan di seluruh negara.
Sikap kitar semula oleh rakyatnya juga menyumbang kepada permasalahan ini. Hampir separuh dari penduduk negara ini peka dengan alam sekitar dan sentiasa mengitar semula barangan lama mereka sendiri. Dengan inisiatif kerajaan juga tentang masalah kitar semula ini menyumbang lagi kepada permasalahan kekurangan sampah.
Jadi anda boleh bayangkan betapa bersihnya negara yang terpaksa mengimport sampah dari Norway, UK, Italy dan beberapa lagi negara Eropah ini. Walaupun begitu, peraturan yang ketat dikenakan ke atas pusat pelupusan yang membakar sampah ini membuatkan ianya kurang kepada peratusan pencemaran udara tidak seperti yang berlaku di negara lain yang sering dibantah oleh aktivis alam sekitar.
Di kebanyakan negara maju yang lain, proses pelupusan sampah dengan membakar ini menjadi isu kerana menyumbang kepada pemanasan global namun tidak di negara Sweden. Kini negara Sweden menjadi contoh yang baik dan diikuti oleh negara-negara maju yang lain dalam urusan pemprosesan sampah yang dibuang oleh rakyat negara mereka.
Seperti mana yang kita ketahui Malaysia juga tidak terkecuali dalam mempunyai sampah yang banyak dan pengurusan yang tidak selari dengan tahap pembuangan sampah. Dengan ditambahkan pula dengan perangai yang tidak pedulikan alam sekitar negara yang kita cintai ini, keadaan akan menjadi lebih buruk dari masa ke semasa.
Walaupun inisiatif kerajaan untuk mendidik rakyat Malaysia untuk membuang sampah dengan mengikut jenisnya, masih ramai rakyat yang tidak peduli dan membuang sampah sesuka hati mereka walaupun tong sampah hanya beberapa kaki sahaja jaraknya. Salah satu mentaliti salah yang sering diamalkan ialah dengan berfikir bahawa ada orang yang dibayar gajinya untuk memungut sampah yang mereka buang sesuka hati.
Kami berharap dengan membaca artikel ini, ia dapat meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia dalam pengurusan sampah terutamanya apabila dekat dengan musim pilihanraya umum ini. Seperti pilihan raya sebelum-sebelum ini apabila bendera, risalah dan sampah ditinggalkan begitu sahaja oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Sampah yang banyak ditinggalkan juga akan menjadi penyebab kepada penyebaran penyakit dan makhluk perosak.
Anda perlu ingat, kita semua akan mati dan mewariskan negara ini kepada generasi yang akan datang, jika anda sayangkan keluarga atau anak anda, ubahlah sikap tidak peduli ini supaya generasi masa hadapan dapat menikmati bumi ini sama seperti kita atau dalam keadaan lebih baik lagi.