Kredit foto: Instagram Henry Golding
Aktor Henry Golding akui teruja terpilih sebagai tetamu program temubual terkenal dunia The Ellen Show yang akan ke udara esok (Isnin waktu tempatan) di stesen televisyen Amerika Syarikat.
Henry, 31, hadir sebagai menjayakan undangan Ellen DeGeneres untuk bercerita lebih lanjut tentang filem terbarunya berjudul Crazy Rich Asians.
Turut serta, seorang lagi teraju utama karya berkenaan iaitu Constance Wu.
“Pengalaman yang bagai mimpi dan sungguh ‘gila’. Seperti tidak masuk akal.
“Jangan lupa sebarkan ‘trailer’ Crazy Rich Asians yang akan dilancarkan nanti,” tulisnya di Instagram.
Kredit foto: Instagram Henry Golding
Henry, aktor berdarah kacukan Iban-Inggeris itu mendapat perhatian meluas selepas membintangi filem yang diadaptasikan daripada novel Crazy Rich Asians arahan sutradara Jon M Chu.
Menemui penonton di pawagam pada 17 Ogos ini.
Tidak hanya itu, rezeki Henry di Hollywood bertambah murah apabila turut diberi peranan utama dalam filem Monsoon arahan Hong Khaou.
Juga tampil menerusi filem A Simple Favor arahan Paul Feig, menggandingkannya dengan nama-nama besar seperti Blake Lively dan Anna Kendrick.
Menyusul di pawagam pada 14 September ini.
Aktor kelahiran Sarawak itu memulakan kariernya sebagai hos 8tv Quickie, Welcome To The Railworld Japan (8TV) dan Surviving Borneo (Discovery Channel Asia) sebelum ke persada Hollywood.