Terdapat banyak salah faham berkenaan introvert. Sesetengah orang memandang pada kumpulan ini yang dianggap introvert dan terus membuat kesimpulan bahawa mereka ini sangat pemalu dan tak mampu untuk memberi ucapan di hadapan umum, atau terlalu pemalu tidak seperti orang lain.
Namun, kebanyakan daripada tanggapan prejudis ini adalah tidak tepat. Lagipun, ramai di antara yang dikategorikan sebagai introvert bertanggungjawab dalam pencapaian terhebat dalam sejarah, dan juga menjadi ahli perniagaan yang berjaya.
iluminasi.com ingin kongsikan 5 di antara individu introvert yang paling berpengaruh dalam sejarah.
1. Albert Einstein
Siapa tak kenal individu ini? Dengan gaya rambut yang bersahaja, ahli fizik terkenal dunia ini adalah individu yang bertanggungjawab membangunkan teori relativiti dan juga merupakan seorang introvert.
Seperti introvert yang lain, Albert Einstein lebih banyak berfikir dan bekerja bersendirian, dan sering dipetik dengan berkata: "Kebosanan dan kesendirian dalam kehidupan yang tenang merangsang minda kreatif".
Beliau menerima Hadiah Nobel Fizik pada tahun 1921 dan paling diingati atas jasanya membangunkan teori relativiti.
2. Bill Gates
Menurut penulis dan pakar introvert, Susan Cain, beliau menggelarkan pengasas dan pengerusi Microsoft ini sebagai introvert. Bill Gates boleh dikatakan seorang usahawan dan genius dari kalangan introvert yang terhebat dalam sejarah.
Bill Gates juga merupakan contoh kepada introvert yang tidak pemalu. Apabila ditanya bagaimana untuk berjaya dalam dunia yang didominasi oleh extrovert, Bill Gates menjawab:
"Saya rasa introvert sangat berkemampuan untuk melakukan yang terbaik. Jika anda anda bijak, anda boleh mendapat kelebihan menjadi seorang introvert. Sebagai contoh mampu untuk mengambil masa bersendirian dan berfikir mengenai masalah beasr, membaca segala yang termampu, memaksa diri untuk berfikir di luar norma.
Kemudian, jika anda mendapat idea, jika anda mahu mengambil pekerja, buatkan mereka berminat dan bina syarikat menggunakan idea tersebut. Belajar apa yang extrovert lakukan dan ambil pekerja dari kalangan extrovert. Gunakan kemahiran yang dimiliki oleh kedua-dua personaliti ini untuk menghasilkan sebuah syarikat yang berjaya berkembang maju dari segi pemikiran yang mendalam dan membina pasukan untuk menjual idea anda kepada dunia,".
3. Isaac Newton
Antara salah seorang tokoh penting dalam bidang sains, Isaac Newton merupakan seorang yang terkenal sebagai mempunyai karekter introvert yang sangat kuat dan sangat melindungi privasinya daripada orang luar.
Isaac Newton merupakan introvert jenis INTJ, iaitu yang paling jarang ditemui, hanya 1% daripada populasi dunia. Seperti introvert lain, beliau sangat suka membaca dan antara buku yang paling kerap dibaca adalah kita Injil.
Selain kerja-kerjanya dalam graviti universal, Isaac Newton terkenal dengan hasil kerjanya mengembangkan tiga undang-undang gerakan yang membentuk prinsip asas fizik moden. Penemuan kalkulusnya juga membawa kepada kaedah yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah matematik.
4. Mark Zuckerberg
Mudah untuk anda bersetuju bahawa pengasas dan CEO Facebook, Mark Zuckerberg juga merupakan seorang introvert. Ketua Pegawai Operasi Facebook, Sheryl Sandberg memberitahu The New York Times pada tahun 2010 bahawa Mark adalah sangat introvert dan pemalu.
Beliau juga sering kelihatan seperti tidak mesra oleh orang yang tidak mengenalinya, tetapi sebenarnya Mark adalah sebaliknya. Malah, Mark dikatakan sangat mengambil berat mengenai kakitangannya.
Sheryl bertindak sebagai pembimbing social dan politik kepada Mark bagi mengimbangi personaliti introvert ini. Kerjasama dan perhubungan yang tulen menjadikan Mark sebagai seorang CEO yang meyakinkan, dan bukannya seorang CEO yang hanya mahukan kakitangannya mengikut telunjuknya sahaja.
Ini adalah salah satu contoh bagaimana introvert adalah pekerja yang bernilai dan pemimpin yang hebat.
5. Joanne Rowling (J.K. Rowling)
Pencipta Harry Porter dan juga penulis buku The Cuckoo's Calling di bawah nama samaran Robert Galbraith ini juga merupakan seorang introvert. Mereka yang dikategorikan sebagai introvert sering dilaporkan berasa sangat kreatif apabila bersendirian, daripada dalam kumpulan. Itulah yang berlaku kepada J.K Rowling yang mana beliau mendapat idea pertama menghasilkan Harry Potter pada tahun 1990 ketika dalam berjalanan seorang diri dari Manchester ke London.
"Saya mula menulis sejak berusia 6 tahun, dan saya tak pernah mempunyai idea yang saya rasa sangat seronok seperti ini (Harry Potter). Namun, saya sangat kecewa kerana saya tidak mempunyai pen yang boleh digunakan untuk menulis ketika itu, dan saya terlalu pemalu untuk pinjam daripada orang lain.
Namun begitu, saya rasa ia merupakan sesuatu yang baik, kerana ia membuatkan saya terduduk dan berfikir untuk tempoh 4 jam dalam kereta api. Ketika itulah segala butiran mengenai seorang budak lelaki berkaca mata dan berambut hitam, yang tidak tahu bahawa dia seorang ahli sihir mula menjadi jelas dalam minda saya,".
Rujukan:
1. CNBC
2. Huffington Post
3. Fast Company
4. Inc