Seperti dah jadi satu perkara biasa seorang lelaki akan mula menambah berat badan mereka selepas berkahwin, walaupun sebelum itu mereka adalah pelari pecut peringkat negeri. Kenapa ya?
Adakah ini kerana cara hidup kita ataupun ada sebenarnya gerakan-gerakan sulit yang sememangnya mahu melihat golongan suami bertukar daripada seorang lelaki aktif, kepada seorang yang pasif, gempal dan kuat makan?
Berikut adalah 5 sebab utama menurut pandangan kami, yang menjadi punca utama lelaki ramai menjadi gemuk selepas melangsungkan perkahwinan.
1. Suami dah mula kurang aktiviti bersenam
Jadual seorang lelaki bujang kebiasaannya penuh dengan aktiviti bersenam, seperti main futsal, badminton atau pergi berdansa dalam kelab malam bagi pengunjung disko. Namun, banyak aktiviti ini terpaksa dihadkan berikutan perlunya suami duduk di rumah menemani isteri daripada kesunyian, apatah lagi sekiranya pasangan tersebut belum dianugerahkan cahaya mata lagi.
Seorang suami ramai yang mengalami dilema dalam membawa isteri turut sama ikut mereka ketika aktiviti futsal, sebagai contoh. Melihat wajah isteri yang masam di tepi menunggu perlawanan habis mampu membantutkan semangat untuk menjaringkan gol. Terfikir perasaan isteri yang sunyi di rumah sendirian ketika kita menggelecek, membuatkan bola mudah dirampas.
Kesedihan isteri duduk seorang ketika suami lepak minum di kedai mamak selepas permainan, mampu membuatkan maggi goreng telur mata paling sedap dalam dunia sekalipun, jadi tawar.
2. Suami terpaksa habiskan makanan isteri
Salah satu masalah paling ketara di kedai makan, adalah masalah yang berlaku tatkala pesanan makanan yang datang terlalu banyak dan isteri kita pula seorang yang bertubuh genit.
Kebiasaannya, isteri hanya akan separuh dan selebihnya akan ditinggalkan. Sebagai seorang suami yang tidak suka membazir, pasti akan terdetik perasaan sayang melihat makanan yang masih panas dan sedap terbuang begitu saja, sedangkan kita baru saja menghabiskan nasi goreng kampung, telur dadar, sup tulang dan milo ais secawan.
Dengan perasaan hiba, seorang suami akhirnya mengalah dan terpaksalah menghabiskan makanan yang tertinggal agar tidak membazir, kerana tuan punya kedai tidak memberikan diskaun pun sekiranya ada makanan lebih.
3. Mak mertua masak sedap, lagi sedap dari masakan isteri
Pulang ke kampung bagi seorang suami yang berstatus menantu yang disayangi, pasti akan disajikan dengan pelbagai masakan sedap-sedap oleh ibu mertua. Seorang tok guru ilmunya pasti jauh lebih hebat berbanding anak muridnya, membuatkan masakan mak mertua dirasai lebih sedap berbanding masakan isteri dibantu pula oleh rasa air tangan yang hanya sekali-sekala dirasai.
Mak mertua pula masakkan masakan yang kita nak makan, berbanding dengan isteri yang masak masakan yang asal boleh kerana penat selepas pulang bekerja.
Sekali balik kampung, suami balik makan tiga pinggan tanpa kawalan kerana tak mahu mengecewakan hati mak mertua yang dah susah payah masak, sementara isteri pula merasa pelik kenapa suaminya bersemangat lain macam makan di kampung. Ini baru cerita masakan mak mertua, belum masuk bab balik kampung suami dan suami mengadap masakan mak dia sendiri.
4. Suami hendak luangkan masa dengan isteri sebanyak mungkin
Salah satu waktu paling manis bagi sesuatu pasangan, adalah apabila mengetahui isterinya mengandung. Apa saja yang dilakukan isteri, akan diawasi dan dicermati sebaik mungkin. Turun tangga pun pimpin tangan. Langkah longkang pimpin tangan. Nak memasak pun, suami ada ke tepi nak tepis minyak yang meletup takut terkena isteri.
Bila seorang suami dah terbiasa dengan jadual sebegitu, tak menghairankan akan berlaku penurunan ketara jumlah aktiviti fizikal yang kerap dilakukan suami yang akan menyebabkan pinggangnya membesar. Setiap masa akan diperuntukkan untuk menjaga isterinya dan kandungan agar selamat sejahtera sehinggalah tiba detik kelahirannya.
Bagaimanapun, tabiat suami ini hanya boleh dipakai pada kandungan pertama sahaja kebiasaannya. Untuk kelahiran kedua dan seterusnya, pandai-pandai isterilah jaga diri sendiri. Pada ketika itu pula, suami dah terlalu 'besar' untuk kembali kurus dan mula merasa selesa dengan penampilan 'terbarunya.'
5. Isteri tak nak orang lain pikat suami dia
Ramai wanita mengenali bakal suami sejak muda dan tahu bagaimana menariknya suami ketika mereka masih kurus. Ramai juga wanita cukup takut mendengar kisah bagaimana suami orang lain digoda wanita lain di tempat kerja, sehingga mengakibatkan krisis rumahtangga, yang akhirnya membawa kepada pergaduhan, pertengkaran atau lebih teruk - perceraian.
Jadi wanita-wanita ini seolah-olah berkongsi tips secara rahsia; gemukkan suami untuk elakkan masalah itu. Kaedahnya? Sekiranya pandai memasak, masak masakan sedap-sedap. Tak pandai memasak? Kerap kali ajak makan luar atau minta mak masakkan makanan sedap-sedap untuk suami kita.
Suami yang tidak menyedari taktik ini beranggapan makanan-makanan sedap yang dihidangkan isteri, sebenarnya adalah bukti kasih sayang walhal hakikatnya, semua itu dilakukan kerana mereka tidak mahu suami ada wanita lain dalam hidup mereka. Seorang lelaki yang penampilannya tidak menarik, akan menurunkan peluang isteri mendapat seorang madu adalah statistik yang kerap dicanang (secara rahsia) oleh kaum isteri. Mereka percaya apa yang mereka lakukan itu untuk kebahagiaan masa depan bersama.
p.s. - Tolong jangan ambil serius artikel ni ye? Sekali-sekala bergurau di hujung minggu. Internet pun dipenuhi dengan tulisan-tulisan politik sahaja berikutan demam pilihanraya yang semakin memuncak, jadi kami cuba ringankan sikit suasana.