loading...

China Sedang Membina Jalan Raya Pintar Yang Mampu Berkomunikasi Dengan Kereta

china lebuhraya pintar komunikasi dengan kenderaan

Rancangan China untuk menjadikan pemanduan secara automasi kini mula mencapai satu tahap baru apabila projek 'lebuhraya pintar' sudah mula diaplikasikan di negara mereka.

Teknologi baru yang membolehkan jalan raya dibina menggunakan konkrit telus cahaya membolehkan panel-panel solar dipasang di sepanjang permukaan jalan. Ini membolehkan pemasangan beberapa peranti lain seperti sensor pembaca permukaan dan pengecas bateri elektrik dipasang di permukannya, yang membuka kemungkinan kenderaan elektrik boleh dicaj semula semasa berjalan di atas jalan pintar tersebut.

Percubaan menggunakan teknologi baru dimulakan pada sebatang jalan di bahagian timur bandar Jinan, sepanjang 1.08 kilometer jaraknya. Panel solar yang dipasang mampu mengumpulkan tenaga untuk menyalakan lampu jalan di sepanjang lebuh raya tersebut dan menyalurkan bekalan elektrik kepada 800 buah rumah, jika diperlukan menurut syarikat pengelolanya, Qilu Transportation Development Group Co.

Qilu berharap projek rintis ini berjaya membuktikan sistem yang dipasang berjaya menyalurkan informasi berkenaan trafik dan permukaan jalan terus kepada pengguna jalan raya.

Kereta tanpa pemandu - masa depan kenderaan kita

kenderaan tanpa pemandu cuba cipta rekod di china

Dengan sasaran 10 peratus kereta akan beroperasi tanpa pemandu pada 2030 di China, kerajaan China sendiri menggesa supaya usaha memperkenalkan teknologi baru pada jalan raya dipercepatkan. Fokus utama diletakkan kepada teknologi yang mengasimilasikan kenderaan yang mampu memandu sendiri serta teknologi yang membuatkan jalan raya mempunyai kepintaran.

Sistem permukaan jalan yang sedang di uji mempunyai tiga lapisan. Lapisan paling atas mengandungi permukaan konkrit yang telus cahaya. Ini membenarkan cahaya solar masuk ke dalam lapisan di bawah yang mengandungi panel solar bagi mengumpulkan tenaga. Pada lapisan atas juga terdapat ruang untuk memasang sensor yang akan membaca suhu jalan, keadaan trafik dan juga berat kenderaan bagi disalurkan kepada pengguna dan juga pihak berkuasa, dalam memantau trafik, keadaan serta kualiti jalan tersebut .

Dipasang secara berpasangan, permukaan jalan berteknologi tinggi itu dikatakan tidak mempunyai sebarang perbezaan rasa dengan jalan raya yang ada ketika ini apabila dilalui. Bagaimanapun, ketika ini jarak yang pendek pemasangan tidak memungkinkan teknologi mengecas bateri kenderaan dipasang berikutan sistem pengecas bateri belum dipasang.

Jalan raya pintar yang dibina mempunyai jangka hayat 15 tahun, sama dengan jalan raya biasa yang ada ketika ini. Ekoran masih dalam tempoh percubaan, Qilu masih belum dapat menganggarkan kos serta ketahanan jalan yang dipasang secara tepat.

Kos pembinaan jalan pintar

panel solar dalam percubaan

Dalam tempoh ujian ini, harga bagi 1 meter persegi jalan pintar ini dianggarkan setinggi RM4340.00 berbanding kadar kos jalan biasa yang jauh lebih rendah, iaitu RM1857. Ini menjadikan kos membina jalan pintar ini menelan belanja lebih dua kali ganda kos jalan secara tradisional. Untuk 1.08 km jarak percubaan ini, kos keseluruhannya mencecah RM25.37 juta.

Bagaimanapun, Qilu percaya kos yang tinggi ini sepatutnya mampu diturunkan sekiranya komponen-komponen yang digunakan dalam pembuatan jalan pintar ini dibina secara besar-besaran. Buat masa sekarang, Qilu menggunakan kepakaran dalaman membina teknologi yang ada serta membina sendiri bahan-bahan yang diperlukan dalam kilang penyelidikan mereka.

Projek yang sebenarnya sudah pun dirancang lebih 10 tahun lalu namun hanya berjaya dipasang pada tahun lepas, mengambil masa 55 hari untuk disiapkan sepenuhnya pada jarak percubaan. Laluan tersebut mula dibuka pada laluan orang awam semenjak Disember 2017.

Kerjasama dengan syarikat pengeluar kenderaan

gambar panel solar di jalan raya

Bagi memaksimakan faedah yang diperolehi, Qilu mengumumkan mereka kini sedang bekerjasama dengan beberapa buah syarikat pengeluar kereta di China dalam menyediakan kenderaan yang mesra dengan teknologi jalan pintar ini, namun tidak mendedahkan nama syarikat-syarikat itu.

Inisiatif kerajaan China mensasarkan berlakunya 7 juta jualan kenderaan yang menggunakan tenaga elektrik pada tahun 2020 dilihat sebagai salah satu usaha memperkembangkan lagi teknologi jalan pintar ini.

Qilu sedang berusaha memposisikan diri mereka sebagai penghubung di antara jalan raya pintar dan kenderaan pintar, yang mampu berkomunikasi serta saling berhubung dalam memastikan keselamatan penumpang di atas jalan raya. Ini kerana mereka percaya semua individu dalam kenderaan akan menjadi penumpang, sementara pemandunya pula adalah kenderaan itu sendiri yang dibantu oleh sistem jalan pintar dalam setiap perjalanan.

Insiden yang berlaku pada beberapa kenderaan tanpa pemandu yang mengakibatkan kemalangan nyawa, membuktikan wujudnya keperluan membangunkan sistem interaksi di antara kenderaan dan jalan raya dalam mengelakkan atau meminimakan risiko berlakunya kemalangan kenderaan tanpa pemandu, yang dikatakan bakal menjadi model kenderaan masa hadapan.

jalan berpanel solar di perancis

Cubaan membina jalan raya pintar di China ini bukanlah kajian yang pertama pernah dilakukan. Sebuah syarikat Perancis bernama Bouygues SA pernah mencuba sistem jalan raya yang mengandungi panel solar pada permukaannya. Setakat ini sistem itu sudah dipasang di lebih 20 lokasi. Bagaimanapun, sasaran kajian ini adalah untuk menghasilkan tenaga elektrik menggunakan panel solar yang akan dikumpulkan, bukan untuk membina sistem jalan raya pintar.

Previous
Next Post »
loading...