loading...

Duta Ukraine Tak Kekok Makan Durian Di Gerai

 

KUALA LUMPUR – Duta Ukraine ke negara ini, Olexander Nechytaylo merupakan penggemar durian.

Malah, diplomat ini tidak kekok menikmati durian di gerai sekitar ibu negara, lapor Mstar.

Nechytaylo yang mampu membezakan antara jenis durian di pasaran tempatan itu bagaimanapun tidak menyukai Musang King.

“Saya tidak suka Musang King tetapi lebih menyukai XO. Biasanya ketika musim durian, saya akan makan di gerai di sekitar Ampang. Kebanyakan buah durian dibawa dari Pahang,” katanya.

Nechytaylo pernah bertugas di kedutaan negaranya di sini sebagai kaunselor pada 2005 hingga 2009 dan ketika itulah beliau menggemari durian.

“Rakan saya turut mengingatkan saya supaya banyak minum soda untuk menyegarkan badan kerana durian itu ‘panas’,” katanya.

Bagaimanapun, durian hanya satu daripada banyak lagi faktor yang mendorong Nechytaylo begitu menyukai negara ini.

Beliau mengagumi negara ini yang memiliki kepelbagaian dalam pelbagai aspek, keamanan dan asas ekonomi kukuh.

Bagaimanapun, Nechytaylo berharap rakyat Malaysia menghargai kestabilan negara ini.

“Rakyat Malaysia juga tidak seharusnya begitu selesa dan mengambil mudah kerana apabila sesuatu yang buruk berlaku baru kita sedar bagaimana pentingnya harmoni dan keamanan dalam sesebuah negara,” katanya.

Tahun ini adalah ulang tahun ke-25 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Ukraine dan Nechytaylo berharap ia dapat dikembangkan termasuk dalam bidang perdagangan dan perniagaan.

Pada 2015, dagangan antara kedua negara mencecah AS$300 juta (RM1.334 bilion) di mana Malaysia mengimport minyak bunga matahari, gandum, jagung dan produk pertanian daripada Ukraine dan mengeksport minyak kelapa sawit ke negara itu.

Selain itu, beliau juga mengakui tragedi MH17 pada Julai 2014 yang mengorbankan 298 penumpang dan kru pesawat berkenaan telah merapatkan hubungan kedua negara.

 

 



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...