KUALA LUMPUR – Perjanjian antara Saudi Aramco dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berkaitan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor adalah perkembangan yang baik dan tidak perlu dibimbangkan kerana ia merupakan pelaburan yang menguntungkan negara.
Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakariah Abdul Rashid berkata, perjanjian itu bukannya dalam bentuk pinjaman yang boleh memberi kesan kepada generasi sekarang atau akan datang.
Menurutnya, pelaburan dalam sektor minyak dan gas yang merupakan penjana pertumbuhan ekonomi adalah baik untuk meningkatkan nilai tambah, mendorong ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan menambah pendapatan isi rumah selaras dengan usaha untuk mencapai negara berpendapatan tinggi.
“Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan kekangan modal yang diperlukan bagi mencapai negara berpendapatan tinggi, pelaburan langsung asing (FDI) dari Arab Saudi adalah perkembangan yang baik untuk negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Selain Arab Saudi katanya, negara sebelum ini juga mendapat pelaburan daripada negara-negara lain seperti China, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.
“Kepelbagaian sumber FDI juga dapat mengelakkan pemusatan pelaburan daripada sesebuah negara terutamanya dari kuasa besar yang dikhuatiri akan mendorong kepada penyebaran fahaman atau budaya, jadi pelaburan daripada pelbagai pihak yang kita terima dapat mengekalkan daripada berlaku pemusatan,” katanya.
Semalam, Saudi Aramco dan Petronas menandatangani Perjanjian Pembelian Saham (SPA) bernilai RM31 bilion untuk memberi sokongan kukuh serta sinergi kepada RAPID.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, perjanjian terbabit bakal merancakkan pembangunan negara terutamanya di selatan Semenanjung.
Ditanya sama ada pelaburan tersebut akan menguntungkan negara, katanya, tujuan sesebuah entiti asing membuat pelaburan adalah untuk mendapat pulangan dan tiada sebab untuk mereka mensabotaj aset-aset tersebut kerana ia akan menyebabkan mereka kerugian dan kehilangan wang pelaburan.
“Malahan mereka akan memastikan aset-aset tersebut diuruskan dengan begitu cekap supaya risiko pelaburan dapat dikurangkan,” ujarnya.
Tambah beliau, ASEAN merupakan antara destinasi utama FDI yang bernilai AS$120 bilion atau RM533.8 bilion pada 2015 dan sewajarnya usaha kerajaan diteruskan bagi memastikan Malaysia menjadi destinasi utama pelabur asing.
“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga aktif dengan menyenaraikan 144 insentif kepada pelabur asing. Ini kerana FDI bukan sahaja bermaksud aliran masuk tunai ke dalam negara tetapi ia turut membabitkan perpindahan pengetahuan dan kemahiran, pewujudan pekerjaan, pembinaan industri sampingan seperti infrastruktur, telekomunikasi dan perkhidmatan,” jelasnya. – Utusan
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW