KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal sekitar era 80-an, Ben Nathan merancang untuk ke Mekah bagi mengerjakan Umrah selepas selesai merakam lagu di Jakarta, Indonesia.
Ben atau nama Islamnya, Ben Adam Abdullah, 54, menyuarakan hasrat itu sewaktu ditemui wartawan selepas muncul dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Wisma TV, lapor Utusan.
“Selepas merakam lagu di Jakarta nanti, saya merancang untuk menunaikan Umrah. Di samping beribadah, saya juga ingin merakamkan muzik video lagu baharu tersebut di sana, “ jelasnya.
Dalam pada itu, Ben turut berkongsi pengalamannya sepanjang menerima rawatan di Wad Psikitri, Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak sebulan lalu.
“Saya amat berterima kasih kepada semua yang telah menyokong dan membantu saya selama ini.
“Saya juga sangat berpuas hati dengan layanan pihak hospital. Saya mengikut semua peraturan di sana memandangkan saya pesakit mereka.
“Pihak hospital turut menyedia pelbagai aktiviti untuk saya bersama pesakit lain seperti bermain karom dan sesekali saya menghiburkan mereka dengan nyanyian saya,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave, memberitahu majlis makan tengahari serta konsert amal yang dirancang oleh YA1M akan diadakan pada 21 Mei ini.
“Pihak yayasan dan Jojo Events menetapkan 21 Mei ini untuk melangsungkan Konsert Kasih dah Harapan Ben Nathan yang akan diadakan di Saloma Bistro.
“Saya amat mengalu-alukan kehadiran artis-artis untuk membuat persembahan amal pada konsert tersebut. Kami juga akan menjual meja untuk peminat yang ingin menyaksikan konsert ini sambil beramal,” jelasnya.
Ben yang pernah popular dengan lagu Stanza Sepi Sekeping Hati itu sebelum ini pernah menjadi perhatian masyarakat dan media apabila tersebar video mengenai kehidupannya sebagai gelandangan.
Berikutan video berkenaan yang menjadi tular, pelbagai pihak tampil membantu penyanyi itu.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW