IPOH – Bas membawa penyokong Kelantan dipercayai menjadi mangsa sekumpulan individu yang bertindak membaling batu terhadap kenderaan itu selepas saingan Liga Super 2017 di Stadium Perak membabitkan pasukan Kelantan menentang Perak malam tadi.
Difahamkan, kejadian berlaku selepas tamat perlawanan ketika kumpulan penyokong Kelantan dalam perjalanan dari stadium menuju ke arah bas kira-kira jam 11.15 malam tadi, lapor Metro.
Menurut kumpulan itu, sebaik tiba, penyokong pasukan Kelantan terdengar bunyi dentuman kecil dari arah belakang bas berkenaan.
Kumpulan itu kemudiannya meninggalkan perkarangan stadium namun mereka mendakwa sekumpulan individu berpakaian hitam menyerbu bas mereka dan membaling batu ke arah bas berkenaan.
Sebaik tiba di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, kumpulan penyokong pasukan itu mendapati terdapat kesan calar pada belakang kanan dan di bahagian lampu isyarat bas.
Susulan kejadian itu, penyokong pasukan berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Jamalani Mat Isa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.20 pagi tadi.
Bagaimanapun katanya, kes itu dirujuk ke Balai Polis Sungai Senam, Ipoh untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Abdul Rani Alias ketika dihubungi turut mengesahkan menerima laporan itu daripada IPD Gerik.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW