loading...

Ekstremis Buddha Myanmar Halang Sambutan Maulud Nabi

YANGON – Ekstremis Buddha menghalang majlis sambutan Maulud Nabi di sini semalam, kata saksi dan penganjur, ketika ketegangan agama semakin teruk susulan tindakan kekejaman tentera terhadap etnik Rohingya di daerah utara Rakhine.

 

Ratusan individu diketuai sami berjubah warna merah pekat, berarak ke pusat perdagangan Myanmar untuk menghentikan acara sambutan hari ulang tahun Nabi Muhammad.

 

“Kami menyambut maulud nabi setiap tahun. Sekarang nampaknya seperti berlaku serangan terhadap kebebasan beragama.

 

“Sami itu cuba untuk menghalang sambutan ini tanpa beritahu apa salah kami. Kenapa pihak berkuasa tidak ambil tindakan,” kata Setiausaha Persatuan Ulama Islam Kyaw Nyein.

 

Saksi yang enggan namanya disiarkan berkata kumpulan sami itu merempuh ke arah mereka sejurus selepas acara sambutan bermula, mendesak supaya ia dihentikan.

 

Mereka memanggil polis, tetapi pihak berkuasa tidak cuba untuk menghentikan tindakan kumpulan sami itu.

 

Naib Presiden Jawatankuasa Penganjur sambutan itu, Tin Maung Win berkata kumpulan sami itu cuba membangkitkan tentangan politik terhadap kerajaan NLD diketuai Aung San Suu Kyi.

 

Beliau berkata ekstremis agama yang mendapat sokongan ketenteraan parti USDP itu melihat kerajaan baharu dilantik tahun lalu selepas memenangi pilihan

raya bebas pertama dalam tempoh 50 tahun, sebagai terlalu berlembut kepada umat Islam.

 

“Kami mengadakan sambutan maulud nabi di sini sejak 7 tahun lalu tanpa keganasan, tetapi hari ini ia berlaku. Ini disebabkan kepentingan politik,” katanya.

 

Kebangkitan sentimen Islamofobia dilihat berlaku di Myanmar sejak berlakunya keganasan perkauman antara penganut Buddha dan umat Islam Rohingya di barat Rakhine pada 2012.

 

Sejak beberapa tahun terakhir, penganut Buddha yang ekstrem mendesak sekatan terhadap umat Islam, memusnahkan masjid dan cuba mengharamkan majlis sambutan seperti Hari Raya Aidiladha dan mengadakan korban.

 

Ketegangan semakin teruk selepas serangan terhadap pos polis di sepanjang sempadan Bangladesh pada Oktober, di mana kerajaan menyalahkan kebangkitan Rohingya diketuai pejuang asing yang disokong dana dari Timur Tengah.

 

Selama ini, Rohingya biasanya cuba untuk mengelak keganasan politik walaupun sejak berdekad lalu ditekan.

 

Ribuan maut dalam keganasan ketenteraan, menyebabkan 50,000 etnik Rohingya lari ke Bangladesh, turut mencetuskan kejadian rogol, bunuh dan kebakaran dilakukan pasukan keselamatan Myanmar di mana aktivis berkata ia perbuatan jenayah terhadap kemanusiaan. – AFP



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...